Ada Apa Dengan 18 Tahun ?
Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengemukakan cadangan agar hak layak mengundi di Malaysia diturunkan kepada umur 18 tahun dan bukannya 21 tahun seperti sebelum-sebelum ini.
Mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut, Tun Mahathir mengakui bahawa kesedaran politik yang ditunjukkan oleh golongan muda ni negara ini adalah satu faktor yang kuat.
Ini terbukti apabila tsunami rakyat yang ditunjangi oleh golongan pengundi muda pada PRU-14 yang lalu telah mampu menumpaskan pengaruh UMNO dan Barisan Nasional yang tumbang buat pertama kali dalam sejarah sejak enam dekad lalu.
“Kita ikut amalan negara lain. Merendahkan umur dari 21 kepada 18 tahun adalah satu langkah besar, tetapi ia satu pengiktirafan kerana rakyat semakin bijak dan boleh membuat pertimbangan”, ujar Tun M.
Sejajar Dengan Negara Demokrasi
Langkah ini adalah sangat bertepatan dengan pendekatan negara Malaysia yang mengamalkan prinsip demokrasi. Hal ini sekali gus memberi kuasa kepada golongan muda untuk menilai dan memilih parti politik yang bakal mentadbir negara ini.
Jika kita lihat, sudah ada beberapa negara di dunia ini yang membenarkan pengundi mereka berdaftar seawal 18 tahun. Antaranya adalah Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, India dan Iran.
Sementara di Asia Tenggara pula, negara jiran kita iaitu Thailand dan Filipina sudahpun melaksanakannya.
Di Malaysia, umur matang adalah 18 tahun, bermaksud seseorang individu itu boleh memandu, berkahwin, menandatangani kontrak serta boleh dibicarakan di mahkamah atas kesalahan jenayah (bukan lagi tertakluk di bawah undang-undang bawah umur).
Bolehkah Undang-Undang Ini Dilaksanakan ?
Walaubagaimanapun, Artikel 119(1) mengikut Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan rakyat yang mencecah umur 21 tahun sahaja layak mengundi.
Sekiranya pihak kerajaan Pakatan Harapan benar-benar mahu cadangan itu dilaksanakan, maka perkara itu perlu mendapat sokongan yang kuat di peringkat Parlimen. Di samping itu, proses pendaftaran pengundi juga perlu dipermudahkan agar golongan muda tidak menghadapi masalah untuk mendaftar.
Adakah anda bersetuju agar had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun ? Kongsikan pendapat anda dalam ruangan komen di bawah.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.