Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Jamal Yunos tampil menyatakan beliau akan menyerah diri kepada polis sekiranya beliau menang jawatan Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan yang berlangsung hari ini.
Jamal sekarang sedang menjadi buruan pihak polis setelah menghilangkan diri sejak 25 Mei lalu. Beliau dipercayai terlibat dalam beberapa kes termasuklah melanggar Akta Senjata.
Jamal memaklumkan kenyataannya itu menerusi beberapa rakaman video terbaharu yang mula tular hari ini dengan dituju kepada pengamal media dan perwakilan UMNO.
“Gua masih dalam keadaan sihat walafiat dan masih berada di dalam negara sahaja, don’t worry esok gua menang ketua Pemuda Umno, lusa gua datang balai polis, no problem, gua tak cabut gua tak lari, sebab depa nak menganiayai gua, gua cabut lah,” katanya menerusi rakaman video berkenaan yang dipercayai dirakam malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor pada sidang media hari ini berkata pihaknya dalam usaha mengesan Jamal di dalam dan luar negara.
“Lambat laun kita akan dapat juga walau di mana sahaja dia berada…waran tangkap terhadapnya telah dikeluarkan sejak dulu lagi,” katanya.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata pengerusi Gerakan Baju Merah itu sepatutnya mengikut prosedur dengan menampilkan diri untuk membantu siasatan dan bukannya mengeluarkan kenyataan media ketika dalam pelarian sehingga menafikan tindakan mahkamah.
Jamal merupakan antara sembilan calon ketua Pemuda UMNO pada pemilihan kali ini selain Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Khairul Azwan Harun.
Dengan pelbagai kontroversi yang melibatkan dirinya dengan pihak polis, pastinya tidak ramai pihak yang mahu memberikan sokongan kepada pengasas kumpulan Baju Merah berkenaan.
Tambahan pula, reputasi Jamal Yunos dan tindakannya sering dijadikan bahan ketawa oleh rakyat setiap kali beliau cuba mencetuskan sesuatu isu.
Ini dapat dilihat melalui tindakannya hadir bertuala depan khalayak ramai bagi memprotes masalah air di Selangor, selain memecahkan botol-botol arak di depan pejabat SUK sebagai bantahan kepada penganjuran acara pesta arak di negeri terbabit.
Jadi bagaimana, adakah anda rasa masa depan UMNO akan lebih cerah sekiranya Jamal dilantik menjadi Ketua Pemuda ? Kongsikan pandangan anda dalam ruangan komen di bawah.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.