Minggu ini, kita dikejutkan dengan tragedi ngeri seorang bayi lelaki, Adam Rayqal, 5, yang dijumpai mati dalam peti sejuk di rumah pengasuh.
Siasatan forensik mengesahkan bahawa terdapat kesan retakan pada tempurung dan pendarahan dalaman kepala yang mungkin berpunca daripada perbuatan pengasuhnya.
Hal ini menimbulkan rasa marah dalam kalangan orang ramai. Rata-rata ibu bapa sudah mula berasa risau dan fobia untuk menghantar anak-anak ke pusat asuhan.
Namun begitu, kebanyakan ibu bapa tidak mempunyai pilihan lain dan tetap memerlukan seseorang untuk menjaga anak mereka ketika waktu bekerja. Oleh itu, terdapat beberapa tips yang boleh anda lakukan sebelum memilih pengasuh untuk anak anda.
#1. Selidik akaun media sosial pengasuh
Pertama sekali, pastikan anda sudah pun menyelidik akaun media sosial si pengasuh. Cuba lihat gambar ataupun komen yang berkaitan dengan anak asuhannya sebelum ini.
Dengan itu, anda akan dapat maklumat yang lebih tentang diri mereka kerana akaun media sosial seseorang boleh menunjukkan bagaimana seseorang itu bersosial dalam kehidupan sehariannya.
#2. Berkunjung ke rumah pengasuh
Selain itu, anda juga wajar untuk berkunjung ke rumah bakal penjaga anak anda. Cuba perhatikan bagaimanakah keadaan persekitaran rumah mereka dari segi kebersihan, keselamatan dan sebagainya.
Jika pengasuh tersebut mempunyai anak asuhan yang lain, sila perhatikan bagaimana dia menguruskan anak-anak asuhan tersebut, seperti jagaan, layanan, dan sikap yang ditunjukkan sekiranya anak asuhan degil ataupun tidak mendengar kata.
#3. Tanya kenalan yang pernah menggunakan servis
Pada masa yang sama, sila minta pendapat daripada beberapa kenalan yang pernah menggunakan servis pengasuh tersebut. Anda disarankan untuk bertanya sebanyak yang mungkin untuk memastikan anda tidak salah memilih penjaga anak anda.
Ambil maklumat tentang kemalangan yang pernah berlaku ke atas anak mereka sepanjang diasuh oleh pengasuh tersebut.
#4. Kenali cara hidup pengasuh
Pastikan anda sudah pun tahu tentang cara hidup yang diamalkan oleh mereka dalam kehidupan seharian.
Bagi yang beragama Islam, pastikan pengasuh tersebut mengamalkan agama Islam yang sebenarnya seperti memelihara aurat, mementingkan kebersihan, solat lima waktu, pandai mengaji dan sebagainya.
Hal ini penting untuk memastikan anak anda tidak diasuh oleh orang yang salah kerana ia boleh memberikan kesan terhadap cara hidup anak anda setelah dewasa kelak.
#5. Menghantar anak selama dua atau tiga hari sebagai permulaan
Kemudian, untuk menguji sejauh mana mereka sesuai dengan anak anda, cuba hantar anak anda ke rumah mereka untuk dua atau tiga hari sebagai permulaan.
Perhatikan bagaimana keadaan mereka ketika berjumpa dengan anak anda. Minta pengasuh tersebut ‘update’ keadaan anak anda secara berkala melalui whatsapp untuk memastikan anak anda sentiasa selamat. ‘Update’ boleh dibuat melalui gambar ataupun video ketika anak anda berada dalam jagaannya.
Apabila anda mengambil anak untuk pulang ke rumah, perhatikan juga adakah anak anda selesa ketika bersama mereka. Hal ini kerana kanak-kanak hanya akan selesa dengan orang yang pandai membuatkannya rasa selesa ketika bersama.
Team Deenamik berharap agar tips di atas dapat membantu ibu bapa di luar sana untuk memilih pengasuh yang baik untuk anak mereka.
Semoga kes seperti ini tidak menutup ‘periuk nasi’ masyarakat yang benar-benar layak dan ikhlas untuk menjadi pengasuh yang berdedikasi dan penyayang.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Jom rebut ganjaran pahala berlipat kali ganda di bulan Syawal ini dengan beramal jariah membeli Kurma Dhuha dari Stokis JRM Johor. Hasil jualan akan disumbangkan untuk tujuan pembangunan Maahad Tahfiz Riadhus Solihin. Layari pautan di bawah untuk maklumat lanjut :