Tuala wanita yang dijual secara komersial adalah selamat digunakan. Pemilihan tuala wanita bergantung pada keperluan bagi setiap wanita. Ia berbeza dari satu individu kepada individu yang lain, bergantung kepada kitaran haid mereka, dan saiz tubuh.

Jadi tuala wanita dipilih berdasarkan 3 faktor utama iaitu kadar serapan, bentuk dan saiznya, dan ketebalan tuala wanita itu.

Semakin tebal tuala wanita itu, semakin tidak selesa digunakan. Ketebalannya tidak menggambarkan ia cepat menyerap dan menyimpan darah. Ada tuala wanita yang bersaiz nipis tetapi mampu menyerap dengan cepat dan menyimpan banyak darah. Ia bergantung kepada bahan yang digunakan dan selalunya lebih mahal.

Tuala wanita dibuat dengan kapas, dengan jalur atau pelekat dibawahnya agar ia boleh dipakai dengan melekatkannya pada seluar dalam anda. Ia berbeza mengikut ketebalan. Ada yang datang dengan sayap untuk melindungi seluar dalam daripada kebocoran di sisi. Yang lain mungkin lebih panjang untuk memberikan lebih perlindungan di belakang.

Tip Memilih Tuala Wanita Yang Betul 

Anda harus ketahui saiz, bentuk badan dan aliran period anda. Pilihlah tuala wanita yang sepadan dengan anda.

  • Ketebalan

Tuala wanita jenis maxi biasanya mempunyai ketebalan yang sesuai untuk aliran yang banyak. Ada wanita yang sukakan tuala wanita yang lebih nipis dan mampu menyerap untuk hari aliran banyak kerana ini membuatkan mereka lebih selesa. Jadi, keselesaan adalah aspek penting apabila memilih tuala wanita.

  • Sayap atau Tanpa Sayap 

Sayap boleh menghalang darah daripada terbocor ke seluar dalam anda. Pakailah tuala wanita yang bersayap semasa hari aliran banyak ataupun anda ingin melakukan aktiviti luar. Anda boleh beli tuala wanita mengikut kepelbagaian jenisnya. Jadi, bolehlah anda pakai tuala wanita mengikut aliran dan tempoh haid serta aktiviti yang anda lakukan.

  • Bahan Lapisan Pelindung

Tuala wanita yang dijual sama ada mempunyai lapisan kapas atau jejaring/jalinan. Ada wanita yang sukakan kelembutan dan keselesaan yang terdapat pada lapisan kapas manakala ada yang sukakan rasa kering yang boleh didapati menerusi lapisan jejaring.

LINER 

Liner merupakan produk yang direka untuk membuatkan anda rasa bersih, segar dan lebih kering bila-bila masa tak kira siang atau malam. Liner lebih nipis dan biasanya lebih kecil saiznya berbanding tuala wanita biasa. Liner memang bagus sebagai perlindungan sokongan sekiranya anda period dan sedang memakai tampon. Ia juga sesuai untuk menyerap kebasahan dan menghalang seluar dalam anda daripada kotor akibat lelehan vagina biasa, peluh, titis-titis kebocoran air kencing dan aliran haid yang tak dijangka.

TAMPON 

Tampon diperbuat daripada kapas sama seperti tuala wanita. Kapas ini digumpalkan bersama sehinggalah ia menjadi tiub nipis. Berbeza dengan tuala wanita, tampon digunakan dengan memasukkannya ke dalam vagina anda semasa aliran haid. Ia mungkin agak sukar untuk pengguna kali pertama. Ikuti arahan yang disediakan pada pek dan lama-kelamaan, anda akan menjadi mahir.

Facebook Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here