MANCHESTER – Zlatan Ibrahimovic melontarkan keyakinan betapa Manchester United masih boleh mengejar pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City apabila dia dan Paul Pogba kembali menyertai pasukan selepas pulih daripada kecederaan panjang.
Penyerang Sweden itu masuk sebagai pemain gantian ketika United menewaskan Newcastle 4-1, Sabtu lalu – yang menjadi penampilan pertamanya sejak kecederaan ligamen lutut yang dialaminya sejak April lalu.
“Saya rasa kami masih boleh mengejar City, mengapa? Adakah tak mungkin kami boleh melakukan perkara sebegitu?” kata Ibrahimovic.
“Kami berada di sini kerana kami mahu menang. Kami perlu menang kerana City mendahului liga.
“Saya boleh katakan Pogba membawa kualiti yang cukup besar. Dia beraksi seperti tidak pernah cedera langsung. Dia memberi kualiti yang berbeza dan saya turut memberi kualiti tersendiri dan juga pengalaman saya.
“Saya cuba untuk membantu pemain sejauh mana yang saya boleh”.
“Pengurus begitu gembira pada minggu ini kerana dia memiliki pasukan yang lengkap buat pertama kali musim ini dan sebagai jurulatih, anda perlukan peluang dan alternatif untuk melakukan perubahan.
“Saya rasa masih ada kemungkinan untuk kami memenangi segalanya. Kami meraih dua trofi musim lalu dan kami menjadi lebih kuat pada musim ini. Jadi saya percaya kami mampu melakukannya.”
Zlatan Ibrahimovic menyumbangkan 28 gol buat kelab The Red Devils itu pada musim lepas. Namun, kecederaan yang membelenggunya membuatkan dia terpaksa diketepikan dan posisinya diambil alih oleh penyerang berbisa, Romelu Lukaku.
Lukaku pada musim ini sudahpun menjaringkan 8 gol dalam saingan liga. Pastinya, gandingan 3 serangkai antara Lukaku, Ibrahimovic dan Pogba sudah tidak sabar untuk disaksikan para peminat.
Teruskan layari Deenamik.com dan like FB page Deenamik untuk dapatkan info-info terkini serta isu-is viral dari dalam dan luar negara.
Layari Daulah Online Bookstore, Kedai Buku Online Yang Menawarkan Buku-Buku Bestseller Idaman Anda Dengan Harga Termurah Di Malaysia!
Dipetik & diolah dari BH