Disleksia

APA ITU DISLEKSIA ?

Disleksia berasal daripada perkataan Yunani iaitu “ dys” bermaksud susah dan “lexia” bermaksud tulisan. Disleksia merupakan satu masalah pembelajaran iaitu kesukaran mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bercakap.

Pendek kata, disleksia mengakibatkan individu mengalami kesukaran untuk memproses ‘bahasa’ di dalam otak. Mereka yang menghidapi penyakit ini mempunyai fungsi otak yang berbeza dalam memproses bahasa tidak seperti individu normal yang lain.

Penyakit ini biasanya dialami oleh kanak-kanak dan boleh berlanjutan sehinggalah kanak-kanak itu dewasa.

JENIS-JENIS DISLEKSIA

Secara umumnya, disleksia boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu :

  1.  Visual (penglihatan)

Disleksia

Kesukaran utama yang dihadapi adalah untuk mengingat dan mengenal abjad serta susunan perkataan. Simbol-simbol perkataan yang dicetak juga sukar untuk diterjemahkan.

Selain itu, kanak-kanak yang mengalami masalah disleksia visual cenderung untuk melihat abjad-abjad tertentu atau sebahagian perkataan secara terbalik.

  1.  Auditori (pendengaran)

Sukar untuk mengingat bunyi abjad, menganalisis bunyi mengikut suku kata, membina atau menyusun perkataan. Selain itu, bunyi percakapan yang dituturkan juga mengelirukan dan sukar untuk dibezakan. Mereka juga mengalami masalah untuk membezakan bunyi vokal dengan bunyi konsonan.

  1.  Visual-Auditori

Kesukaran membaca yang amat teruk dan ini disebabkan oleh kelemahan untuk memproses tulisan secara visual dan audio.

KESAN KEPADA PROSES PEMBACAAN

  • Kanak-kanak yang mengalami disleksia mempunyai kemahiran membaca yang lemah. Kemampuan pembacaan kanak-kanak disleksia tidak sama dengan kemampuan kanak-kanak sebaya. (Tjhin Wiguna, 2004)
  • Apabila mereka membaca, mereka teragak-agak walaupun mereka menggunakan jari untuk menolong mereka membaca. Kadangkala cara membaca mereka seperti mereka gagap. (Tjhin Wiguna, 2004)

  • Mereka juga lemah atau tidak pandai menggunakan intonasi dan ekspresi yang sesuai. Intonasi yang digunakan turun dan naik mengikut gerak hati mereka. (Tjhin Wiguna, 2004)
  • Selain itu, apabila membaca mereka tidak menghiraukan tanda baca dan suka menambah perkataan pada bacaannya. Mereka juga sering melangkau baris semasa membaca dan salah sebut perkataan, terutamanya perkataan yang jarang digunakan.

 

  • Masalah yang paling terkenal dengan disleksia ialah kanak-kanak sentiasa keliru dengan perkataan dan huruf yang kelihatan sama. Mereka akan membaca perkataan terbalik, contoh seperti ‘ batu ’ menjadi ‘ tuba ’, ‘ gula ’ menjadi ‘ lagu ’ dan sebagainya.

Disleksia

  • Mereka juga terbalik dalam konsep ruang. Misalnya, mereka keliru terhadap pemahaman konsep atas dan bawah, depan dan belakang dan sebagainya. (Tjhin Wiguna, 2004)
  • Selain itu, mereka juga keliru kedudukan huruf dalam perkataan, seperti ‘ makan ’ menjadi ‘ makna ’; dan keliru antara perkataan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu yang hampir sama, seperti ‘ j am ’ dan ‘ jem ’, ‘ cat ’ (kucing) dan ‘ cat ’ dan lain-lain.
  • Penambahan dan pengurangkan huruf juga berlaku, contohnya ‘ bulan ’ menjadi ‘ bulang ’ dan ‘ bunga ’ menjadi ‘ buna ’. Kadangkala huruf vokal yang mereka baca tidak kedengaran jelas atau mereka menggantikannya dengan konsonan .( Drazat, 2006)
  • Kajian juga mendapati kanak-kanak disleksia yang kidal adalah ambidextrous, iaitu dapat menggunakan kedua belah tangan untuk menulis, akan seringkali membaca dari kanan ke kiri. (Drazat, 2006). Contohnya, ‘ Pada masa yang sama’ akan menjadi ‘Dapa sama yang masa’. (Speed, 2007)

DIAGNOSIS DAN RAWATAN AWAL

Secara realistiknya, ia boleh dirawat tetapi tidak boleh diubati. Jika penyakit ini tidak dikenalpasti dan dirawat pada tahap awal, ianya akan menjadi semakin teruk. Prestasi kanak-kanak di sekolah juga akan semakin terkebelakang dan ini akan mengakibatkan mereka kurang keyakinan dalam diri.

Penyakit ini hanya boleh dikesan apabila beberapa ujian dilakukan ke atas pesakit dengan pengendalian ahli psikologi atau guru khas disleksia. Penghidap disleksia biasanya akan diberi rawatan secara terapi untuk meningkatkan kemahiran linguistik, berfikir dan sosial.

Justeru, amatlah penting bagi para ibu bapa untuk mengenalpasti dan mendapatkan pemeriksaan bagi kanak-kanak yang dikhuatiri menghidap disleksia bagi memastikan mereka dapat mencapai potensi sebenar bukan sahaja dalam bidang akademik malah dalam bidang-bidang lain juga.

Sumber :

Carnine D. 2003. IDEA: focusing on improving results for children with disabilities. Testimony in Hearing before the Subcommittee on Education Reform, Committee on Education and the Workforce, United States House of Representatives

Abdullah Yusof, Safani Bani. 2006. HBSE1103 – Pengenalan Pendidikan Khas. Open University Malaysia (OUM)

Jamila K.A. Mohamed. 2005. Pendidikan Khas Untuk Kanak-Kanak Istimewa. Kuala Lumpur : PTS Professional

Facebook Comments

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here