PhD Sebabkan Sakit Mental ?
Pelajar-pelajar PhD berada pada risiko yang tinggi untuk menghidap masalah kesihatan mental, menurut satu kajian. Perkara ini disebabkan oleh beberapa faktor, termasuklah beban kerja yang terlalu banyak serta kurangnya sokongan daripada penyelia akademik.
Tidak dinafikan, menyiapkan penyelidikan akademik berstatus besar seperti PhD bukanlah perkara yang mudah. Ianya memakan masa yang sangat lama. Seseorang pelajar itu juga harus meluangkan banyak masa menghadap komputer dan juga berada di dalam makmal untuk mendapatkan title “Doktor Falsafah”.
Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Research Policy, tekanan-tekanan yang dialami oleh pelajar PhD akan memberikan impak kepada kesihatan mental. Dianggarkan satu pertiga daripada pelajar PhD mempunyai risiko untuk menghidap masalah psikiatri seperti kemurungan.
Antara simptom yang biasa dialami oleh mereka adalah seperti tidak cukup tidur, terlampau banyak berfikir, sukar untuk gembira dan lesu dalam menjalankan aktiviti harian.
Kajian juga menunjukkan sesetengah daripada mereka mengalami masalah tersebut kerana sukar untuk menjaga keperluan keluarga disebabkan komitmen kerja yang terlampau banyak. Bebanan untuk menyiapkan kajian PhD juga dikaitkan dengan banyak lagi simptom lain.
Walaubagaimanapun, tekanan dan masalah kesihatan mental ini dapat diatasi sekiranya pelajar itu memang betul-betul berminat dengan kajian akademik dan mempunyai visi yang jelas tentang masa depannya. Selain itu, bimbingan positif daripada penyelia juga dapat membantu mereka menjadi lebih tenang dan gembira dengan kajian yang dilakukan.
Namun, tidak semua pelajar yang menjalankan kajian PhD mempunyai penyelia yang memahami masalah mereka. Ada sesetengah penyelia yang tidak banyak membantu malah menambahkan lagi tekanan yang dihadapai.
BACA: “Nak Sambung Master Ke Nak Cari Pengalaman Kerja Dulu ?”
Dalam satu artikel yang dipaparkan di Quartz, seorang wanita mengakui bahawa dia pernah cuba untuk membunuh diri ketika melakukan kajian PhD kerana terlalu stress dan mengalami masalah kemurungan.
Justeru, salah satu cara yang boleh dilakukan oleh pihak berwajib adalah melatih para penyelia akademik di universiti supaya lebih cakna dengan ciri-ciri pelajar yang mengalami masalah kemurungan, kegelisahan dan masalah kesihatan mental.
Semoga para pelajar yang sedang bertungkus-lumus menyiapkan kajian PhD dapat menjaga kesihatan mereka dan dapatkan khidmat kaunseling sekiranya mengalami kemurungan dan stress yang terlampau.
Teruskan layari Deenamik.com dan like FB page Deenamik untuk dapatkan info-info terkini dan isu viral dari dalam dan luar negara.
Sumber :
Business Insider