Peguam kepada Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Shafee Abdullah mencadangkan kepada mahkamah supaya bayaran ikat jamin anak guamnya itu dilangsaikan menggunakan kediaman di Jalan Langgak Duta dan bukannya dalam bentuk wang tunai.
Cadangan tersebut dikemukakan setelah Shafee mendapati Najib tidak mampu membayar jumlah ikat jamin yang diminta oleh pihak pendakwa raya iaitu sebanyak RM4 juta dengan 2 orang penjamin.
Walaubagaimanapun, cadangan tersebut dibangkang oleh barisan pendakwa raya yang diketuai oleh Tommy Thomas berserta 11 lagi ahli yang lain. Mereka menentang dengan alasan pembayaran melalui pajakan rumah adalah langkah yang tidak praktikal dan menyusahkan proses pendakwaan.
Sehubungan dengan itu, Shafee memohon kepada mahkamah supaya bayaran ikat jamin dikurangkan kepada RM500,000.
Peguam kepada Najib itu turut menjelaskan bahawa jumlah asal yang diminta oleh pendakwa raya adalah terlalu tinggi. Itu terpaksa membuatkan keluarga Najib berhempas pulas mengumpul wang dari sanak-saudara dan rakan-rakan untuk membayarnya.
Tambahan pula, ahli keluarga Najib tidak dapat menggunakan wang dari akaun bank mereka kerana telah dibekukan oleh Pasukan Khas 1MDB berhubung siasatan ke atas kes berkenaan.
Akhirnya, pihak mahkamah memutuskan agar jumlah ikat jamin diturunkan kepada RM 1 juta. Separuh dari jumlah itu dibayar pada Rabu dan baki selebihnya dijelaskan sebelum 3 petang pada Isnin minggu berikutnya.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.