Haji merupakan rukun Islam yang kelima dan semua umat Islam wajib mengerjakan haji apabila sudah berkemampuan. Selalunya, ramai jemaah haji yang yang terdiri daripada golongan yang berusia 50 tahun ke atas.
Jarang kita lihat anak muda yang berumur dalam lingkungan 25 tahun hingga 35 tahun berjaya menunaikan ibadah suci ini dengan menggunakan wang simpanannya sendiri.
Bagaimana dengan anda? Team Deenamik kali ini terpanggil untuk berkongsi tentang 5 tip penting bagi anda yang menyimpan hasrat untuk menunaikan ibadah haji pada usia muda.
#1. Daftar akaun Tabung Haji
Mula-mula sekali, buka dulu akaun Tabung Haji anda. Akaun ini penting untuk anda membuat simpanan untuk ke Tanah Suci.
Jika sebelum ini anda pernah mempunyai akaun Tabung Haji yang sudah didaftarkan semasa di sekolah dulu, tahniah dan cari semula buku akaun anda.
Tujuan utama pihak sekolah membantu anda untuk membuka akaun Tabung Haji kerana adalah untuk membantu anda membuat simpanan untuk ke Mekah.
Daftar akaun Tabung Haji anda sekarang! Bagi yang dah ada akaun ini, janganlah biarkan jumlah simpanan anda statik sebegitu sahaja ya. Cuba peruntukkan sejumlah wang setiap bulan dan masukkannya ke dalam akaun tersebut.
#2. Daftar haji
Ada akaun saja, kalau tak mendaftar, rugi juga. Pastikan anda telah mendaftar kerana pendaftaran tersebutlah yang akan membolehkan nama anda tersenarai dalam senarai menunggu jemaah haji Malaysia.
Segala syarat pendaftaran haji boleh diperoleh menerusi laman web www.tabunghaji.gov.my. Percaya lah, selesai sahaja mendaftar, anda akan berasa lebih bersemangat untuk membuat simpanan bagi menunaikan ibadah suci ini.
#3. Mandikan diri dengan ilmu tentang haji
Kalau kita nak buat sesuatu yang besar, kita pasti akan melakukan research terlebih dahulu. Macam zaman-zaman belajar dulu. Begitu juga dengan ibadah suci ini.
Cuba banyakkan diri untuk membaca buku ataupun menuntut ilmu yang berkaitan dengan haji. Kalau ada ceramah tentang haji diadakan di surau ataupun masjid berdekatan dengan rumah anda, lagi bagus.
Siapa nak bagi ilmu free dan bermanfaat macam tu? Ingat ya, ibadah haji ini adalah sesuatu yang praktikal. Untuk sesuatu yang praktikal, pasti perlunya ada teori bagi memastikan apa yang kita buat itu berjaya dan membuahkan hasil.
#4. Usaha, doa, tawakal
Adanya niat tanpa iringan usaha ataupun doa takkan membuahkan apa-apa hasil. Analoginya, anda ingin menyiram tanaman anda agar ianya dapat hidup subur, namun anda tidak membawa air.
Jadi bagaimana tanaman anda boleh tersiram tanpa air? Bila dah ada niat untuk menunaikan haji, walaupun ketika itu anda masih belum mampu, jangan risau.
Iringi niat anda dengan usaha dan juga doa. Jangan sesekali berputus asa dan berhenti menabung wang serta mendalami ilmu tentang haji.
Pasang niat nak pergi haji pun dah besar pahalanya, apa lagi kalau anda dah usaha bersungguh-sungguh untuk ke kearah itu? Besar ganjarannya.
#5. Persediaan dari segi fizikal dan mental
Ingat ya, pergi haji tak sama seperti anda melancong ke luar negara. Anda sendiri tahu bagaimana keadaan dan cuaca di Tanah Suci.
Dengan kesesakan orang ramai dan cuaca yang panas terik semestinya memerlukan kekuatan dari segi fizikal dan mental. Sentiasa menyucikan hati dan mengamalkan amalan murni agar ibadah haji anda berjalan dengan lancar.
Semoga tip di atas dapat membantu melonjakkan lagi semangat anak muda di luar sana untuk menunaikan haji pada usia muda.
Menunaikan haji pada usia muda lebih besar pahalanya dan amat membanggakan berbanding daripada menjadi jutawan ataupun kahwin pada usia yang muda. Semoga memperoleh haji yang mabrur anak muda!
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.