Jolokan ‘Syurga Makanan’ sememangnya sangat padan untuk Pulau Pinang. Antara makanan yang paling popular di Pulau Mutiara ini adalah nasi kandar.
Jika anda berkunjung ke Pulau Pinang ,anda akan temui banyak restoran yang menyediakan nasi kandar. Namun, terdapat sebuah restoran yang telah beroperasi sejak turun temurun dan pastinya akan memberikan anda rasa nasi kandar yang terbaik, iaitu Deen Maju.
Kunjungan Team Deenamik ke Pulau Pinang selama 3 hari 2 malam akan membawa anda bersama-sama untuk membongkar rahsia restoran ini sehingga tidak putus-putus menerima kunjungan daripada pelanggan pada setiap hari.
Pelanggan yang sangat ramai dengan barisan yang tidak putus-putus
Team Deenamik sampai di Deen Maju lebih kurang jam 3.30 petang. Untuk pengetahuan anda, tempat letak kereta di kawasan sekitar Deen Maju sangatlah terhad. Jadi, sudah menjadi kebiasaan bagi pelanggan Deen Maju untuk parking di bahu-bahu jalan.
Pandai-pandai lah cari tempat yang selamat untuk meletakkan kenderaan anda ya. Sesampainya anda di restoran ini, jangan terkejut dengan barisan yang sangat panjang. Itu adalah normal.
Disebabkan kami berlima, jadi kami bahagikan setiap seorang dengan tugas masing-masing, yang mana dua orang berbaris untuk memesan makanan, dua orang menyediakan kelengkapan teknikal untuk membuat video review dan seorang lagi berjumpa dengan pemilik kedai.
Jadi kalau anda berkunjung ke Deen Maju bersama dengan keluarga ataupun kawan-kawan, pastikan separuh daripada anda berbaris untuk mengambil makanan dan separuh lagi duduk di meja ya.
Tempoh menunggu di Deen Maju adalah diantara 30 minit hingga 1 jam
Jangan terkejut, tempoh menunggu dalam barisan untuk memesan makanan di Deen Maju boleh mencecah 30 minit hingga 1 jam lamanya. Rata-rata inilah yang diakui oleh pengunjung yang sempat kami temui pada ketika itu.
Namun, tempoh masa menunggu yang agak lama ini sama sekali tidak pernah menjejaskan perniagaan restoran ini, malah semakin hari, pengunjungnya semakin meningkat.
Percayalah, sebaik sahaja anda berbaris untuk memesan makanan, anda tidak akan terasa pun ianya memakan lebih kurang satu jam kerana Deen Maju mempunyi pelayan dan pekerja yang amat cekap dan pantas dalam menyenduk lauk-pauk.
Keadaan kedai yang biasa, namun pelanggan yang datang tak pernah putus-putus
Sedia maklum, restoran ini teletak betul-betul di tepi jalan. Ia terdiri daripada dua blok kedai lama ala-ala bangunan Cina. Jika dilihat dari luar, anda akan merasakan bahawa restoran ini agak sempit.
Namun, sebaik sahaja masuk ke dalam restoran, anda akan terkejut apabila melihat ruang makan di Deen Maju dibuka sehingga ke belakang.
Deen Maju juga tidak menyediakan televisyen mahupun siaran Astro untuk para pengunjung kerana anda tidak akan sempat untuk menonton televisyen pun.
Percayalah, setelah berbaris dengan begitu lama untuk memesan makanan, anda akan sibuk menikmati nasi kandar yang sedap dan kemudian terus pulang.
Pendek kata, pengunjung restoran ini memang tidak akan memperuntukan masa yang lama untuk bersembang kosong setelah selesai makan. Itulah konsep yang diamalkan oleh pemilik kedai ini bagi memastikan semua pengunjung yang datang mendapat meja makan masing-masing.
Nasi kandar terbaik, cukup rasa dengan harga berbaloi
Apa yang istimewa di Deen Maju ini adalah terletak pada keenakan kuah karinya yang sukar untuk anda temui di restoran lain. Semasa memesan makanan, anda bebas memilih apa -apa jenis lauk yang anda gemari kerana pilihan lauknya adalah sangat banyak.
Antara lauk yang terdapat di Deen Maju ialah kari ikan, ayam goreng berempah, kari sotong, ikan masak kicap, telur masin, kacang bendi rebus, kubis masak tumis, kentang berempah dan banyak lagi.
Meskipun warna masakan berkuah di restoran ini kelihatan agak pekat dan kelihatan agak garang, jangan risau. Rasa pedas dengan rempahnya masih lagi di paras normal sehingga anak-anak anda pun boleh makan.
Setelah selesai sahaja gaul nasi dengan kuah, kami menikmati suapan pertama di Deen Maju. Rasanya memang enak sehingga tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Harganya juga adalah sangat berbaloi bergantung kepada lauk yang anda pilih. Memang puas hati.
Di sini, Deenamik melampirkan video salah seorang daripada team kami yang sedang menikmati makanan dengan begitu asyik sekali sehingga boleh membuatkan anda semua ingin berkunjung ke Deen Maju sekarang juga. Amacam? Terliur tak?
Sekian sahaja perkongsian daripada kami kali ini. Oleh itu, jom bersama-sama berkunjung ke Deen Maju Pulau Pinang untuk mendapatkan nasi kandar yang terbaik dengan rasa paling umphh.
Di sini kami memberi sedikit info tentang restoran ini bagi memudahkan anda sekiranya anda bercadang untuk berkunjung ke sana.
Deen Maju,
170, Jalan Gurdwara (Brick Kiln Road)
10300 George Town, Pulau Pinang.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.