Kota Tinggi, 27 Februari 2019 – Empangan Sungai Lebam, di Bandar Penawar, Kota Tinggi mencatatkan bacaan 10.9 meter iaitu berada di bawah paras kritikal susulan keadaan cuaca panas ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, situasi itu bagaimanapun masih belum di tahap membimbangkan dan boleh bertahan sehingga 72 hari cuaca panas berterusan.
“Paras normal empangan Sungai Lebam ialah 14 meter dan paras kritikal ialah 12.72 meter. Cuaca sangat panas dan kering di Johor sekarang amat merisaukan.
Jadi rakyat perlu memberikan kerjasama dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat empangan itu, hari ini. Puah berkata kadar taburan hujan yang semakin menurun di kawasan empangan itu membimbangkan kerajaan negeri terhadap pengurangan bekalan air.
“Januari tahun ini, jumlah taburan hujan yang diterima ialah 110 meter berbanding 475 meter pada tempoh sama tahun lalu. Februari ini pula 60 meter berbanding 100 meter (Febuari 2018). Maknanya, ia mencerminkan krisis yang berlaku pada 2015 dan disebabkan itu, kita perlu membuat segala kaedah untuk mengelakkan catuan,” katanya.
Kaedah itu termasuklah mengepam sebanyak 30 juta liter sehari (MLD) jika keadaan cuaca panas, berterusan namun buat masa ini, bekalan air masih boleh bertahan selama 72 hari, katanya. Puah memberitahu selain Empangan Sungai Lebam,
Empangan Lok Heng dekat sini, turut menyaksikan bacaan bekalan air yang sangat rendah iaitu pada paras dua meter kini berbanding 1.5 meter (paras kritikal). “
Bekalan sekarang hanya boleh bertahan selama 21 hari dan jika terus berkurangan boleh menjejaskan kira-kira 20,000 penduduk namun kita ada ‘pelan tindakan kecemasan’ dengan menyediakan tiga ‘tube well’ (telaga tiub) di kawasan empangan,” katanya.
sumber berita rtm