Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David mengesahkan bakal menggantung raket setelah mengumumkan persaraannya.
Nicol mengumumkan berita persaraannya itu menerusi laman sosial peribadinya. Keputusan tersebut diambil setelah dia mengadakan perbincangan bersama keluarga serta jurulatihnya, Liz Irving yang menjadi tulang belakang kejayaannya ketika di puncak karier dan sehingga kini.
Kata Nicol dalam satu temubual lintas langsung eksklusif, dia gembira untuk berkongsi perkembangan dan gembira serta teruja untuk mengumumkan persaraan beliau pada Jun depan, malahan musim ini akan menjadi musim terakhirnya dalam karier profesional.
Berita tersebut nyata menjadi satu kehilangan besar buat negara memandangkan Nicol David merupakan ikon sukan kebangsaan sejak lebih sedekad lalu.
Pemain skuasy berusia 35 tahun itu merupakan pemain skuasy pertama yang memenangi Kejuaraan Remaja Dunia sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1999 dan 2001.
Beliau merupakan salah seorang pemain skuasy terbaik sepanjang zaman, dan antara gelaran lain yang dimenangi beliau adalah Kejuaraan Asia sebanyak Sembilan kali (1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2008, 2010, 2011 dan 2015), sebelum dirampas oleh jaguh Mesir, Reneem El Weleily.
Pemain yang kini di ranking ke-21 dunia itu sudah mengecapi kesemua kejuaraan, termasuk lapan kali bergelar juara dunia, selain lima pingat emas Sukan Asia, dua emas Sukan Komanwel dan 81 gelaran kejuaraan Jelajah PSA.
Nicol telah mengharumkan nama Malaysia dan membantu menaikkan imej squash sepanjang penglibatannya dalam sukan berkenaan. Kini tiba masanya untuk dia berehat. Kami rakyat Malaysia mengucapkan selamat bersara wahai sang juara!