KANGAR, 5 Mac 2019 – Tidak berhati perut. Itu yang dapat digambarkan mengenai tindakan seorang ibu yang sanggup mengurung anaknya yang berusia tujuh di sebuah rumah di Taman Hijrah di sini sejak Rabu lalu.
Sepanjang tempoh lima hari dikurung, mangsa dilaporkan tinggal sendirian dengan rumah berkunci dari luar serta tidak diberi makan.
Difahamkan, jiran-jiran berdekatan yang terdengar tangisan mangsa ada memberikan makanan melalui tingkap rumah tersebut sebelum menghubungi polis untuk menyelamatkan kanak-kanak tersebut.
Ketua Polis Perlis, Senior Assisten Komisioner Datuk Noor Mushar Mohamad berkata, Nur Aleesya Zara Abdullah dipercayai ditinggalkan ibunya, Norhazwani Mazlan, 31, yang sudah bercerai.
Beliau berkata polis yang tiba di rumah berkenaan terpaksa memotong mangga pintu rumah tersebut untuk menyelamatkan kanak-kanak malang itu.
Susulan kejadian, polis menahan wanita dipercayai ibu mangsa bagi membantu siasatan.
Ketika disoal siasat, wanita itu mengaku meninggalkan kanak-kanak itu kerana mengikut teman lelakinya.
Wanita berusia 31 tahun yang bertugas sebagai kontraktor itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.
Kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk rawatan berikutan keadaan mangsa yang lemah.
Difahamkan, mangsa masih menerima rawatan di HTF sebelum diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.