Kota Bharu, 14 Mac 2019 – Pas belum berbincang dengan UMNO mengenai pakatan untuk membentuk kerajaan campuran di beberapa buah negeri termasuk Perak dan Kedah.

Naib presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara tersebut juga tidak disentuh dalam perjumpaan jawatankuasa induk Pas-UMNO pada 5 Mac lepas.

Mengulas tentang kerajaan campuran seperti dicadangkan Mohamad, timbalan menteri besar Kelantan itu berkata hubungan Umno dan PAS masih di peringkat “bermain mata”.

Justeru, kata Mohd Amar,  masih terlalu awal dan belum ada keperluan untuk kerajaan campuran PAS-Umno di empat negeri yang ditadbir dua parti itu.

“Sekarang terlalu awal untuk membentuk kerajaan campuran memandangkan hubungan PAS dan Umno belum tiba tahap ‘merisik’ pun lagi, baru peringkat ‘bermain mata’.

BACA JUGA :   Malaysia temui semula rentak apabila Kejohanan B-18 AFF 2019

“Pada masa sekarang, parti perlu menumpukan untuk menjadi pasukan pembangkang yang lebih baik, gagah dan berkesan,” katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Mohamad mengenai hasrat UMNO membentuk kerajaan campuran di empat negeri yang dikuasai Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Secara peribadi, katanya, beliau kurang bersetuju dengan cadangan membentuk kerajaan campuran tersebut sebaliknya mahu Pas dan UMNO kekal sebagai parti pembangkang yang gagah dengan memainkan peranan lebih baik.

Pada masa ini, Kedah dan Perak diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti kecil iaitu masing-masing empat dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri.

BACA JUGA :   Ini Sebab Kenapa Syed Saddiq Mahu BTN Dibubarkan

Mohd Amar berpandangan, tidak wajar untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri melalui “jalan belakang” dan PH di negeri berkenaan harus dibiarkan memerintah sehingga tamat penggal.

“Kalau tanya saya secara peribadi, biarlah berjalan apa yang ada hari ini. Biar kekal kerajaan PH (di Perak dan Kedah). Biar mereka memerintah sehingga habis penggal.

“Bukan cara kita ambil sesebuah kerajaan di tengah jalan,” tambahnya.

Mengulas kerjasama politik antara Pas dan UMNO, Mohd Amar memaklumkan ia hanya melibatkan pilihan raya kecil dan tidak lebih dari itu.

Sebarang ketetapan sama ada untuk menjalinkan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan UMNO perlu mendapat persetujuan dan ketetapan dalam Muktamar Pas, tambahnya.

Facebook Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here