Sebelas orang maut selepas bas pekerja dinaiki mereka terjunam ke dalam longkang sedalam 10 meter di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, jam malam malam tadi.
Sembilan daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi mangsa meninggal dunia di hospital, masing-masing satu di Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah, berkata hasil siasatan mendapati, bas itu membawa seramai 43 penumpang warga asing yang juga pekerja kontrak MAS Kargo.
Katanya, kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Nilai, Negeri Sembilan ke tempat kerja penumpang terbabit sebelum ia hilang kawalan dan terhumban dalam longkang itu.
“Kesemua pekerja terbabit sepatutnya masuk bekerja pada shif 12 tengah malam ini (tadi).
“Baki 33 penumpang lagi yang cedera dihantar ke hospital di Serdang, Putrajaya, Banting dan Kajang untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
Siasatan awal mendapati bas terbabit hilang kawalan sebelum menjunam ke dalam longkang sedalam 10 meter.
Kemalangan itu menyebabkan sembilan mangsa termasuk pemandu bas itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang penumpang wanita disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serdang.
“Lebih kurang jam 11.10 malam satu kemalangan berlaku di Jalan S8 KLIA di mana sebuah bas membawa pekerja telah terbabas dan masuk ke dalam sebuah longkang besar. Dalam bas itu terdapat 44 orang termasuk pemandu iaitu pekerja MASkargo dimana semua pekerja tersebut di bawah syarikat Kaya Mas.
“Mereka ini dibawa dengan bas daripada hostel mereka di Nilai untuk bertugas shift pada 12 tengah malam tadi. Dalam perjalanan itu bas ini terbabas. Setakat ini sembilan orang meninggal dalam kejadian di sini iaitu termasuk seorang pemandu manakala selebihnya dibawa ke hospital,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Zulkifli berkata, 34 penumpang bas terbabit yang cedera dikejarkan ke Hospital Serdang, Hospital Putrajaya, Hospital Banting dan Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.
Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Operasi menyelamat mangsa turut dibantu pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kesihatan Malaysia dan polis bantuan MASkargo.
Sementara itu, Ketua Zon Lima (Selangor Selatan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Nik Mohd Fadhil Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 11.16 malam tadi.
Seramai 38 pegawai dan anggota bersama tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA, BBP Cyberjaya dan BBP Sepang dikejarkan ke lokasi kejadian.
Pihak bomba juga terpaksa memotong beberapa bahagian bas terbabit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Bomba mengambil masa kira-kira satu jam bagi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan kaedah ‘hauling’ iaitu menggunakan tali penyelamat, tangga serta pengusung bagi membawa keluar mangsa.