Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansara, di sini, malam ini.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan sempat mengadu dengan bapanya yang baru pulang ke rumah bahawa dia pening kepala, kira-kira jam 7 malam.
Pengawal keselamatan sekolah berusia 44 tahun itu kemudian menyuruh anaknya itu masuk tidur dan berehat.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata sebaik menyuruh anaknya tidur, lelaki itu kemudian masuk ke tandas sebelum terdengar bunyi dentuman kuat.
“Dia kemudian mendapati isterinya tergesa-gesa masuk ke rumah dan memberitahu bahawa anak mereka jatuh di tingkat paling bawah.
“Bapa mangsa kemudian berlari turun mendapatkan anaknya dan mendapati kepala remaja itu cedera parah dan berlumuran darah.
“Dia kemudian bergegas mengejarkan anaknya ke Wad Kecemasan Hospital Sungai Buloh (HSB) namun doktor bertugas mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Zani berkata, siasatan awal mendapati mangsa, Khorilsyahrulnizam Che Norizam dikatakan sudah tiga hari mengalami demam panas.
Katanya, siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).