KAJIAN populasi badak di Hutan Simpan Ulu Segama, Hutan Simpan Ulu Malua dan Rizab Hidupan Liar Tabin di negeri ini mendapati kawasan berkenaan tidak lagi mempunyai Badak Sumbu Sumatera.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew berkata, kajian melalui kaedah menjelajah hutan itu tidak menemui kesan tapak kaki badak manakala perangkap kamera yang dipasang juga tidak merakam gambar haiwan berkenaan.
“Kementerian saya melalui Jabatan Hidupan Liar menjalinkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Borneo Rhino Alliance dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia bagi menjalankan kajian di kawasan berkenaan yang dahulunya dikenal pasti mempunyai populasi Badak Sumbu Sumatera.

“Kajian ini bermula sejak tahun 1978 ketika Fauna Survey of Sabah dimulakan dan masih dijalankan sehingga sekarang.
“Bagaimanapun, kajian itu mendapati kawasan berkenaan tidak lagi mempunyai Badak Sumbu Sumatera,” katanya menjawab soalan Calvin Chong Ket Kiun (DAP-Elopura) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan mengenai adakah terdapat laporan mengenai penemuan tapak kaki Badak Sumbu Sumatera selepas 2016 dan apakah langkah yang dapat dilakukan untuk mengembalikan semula habitat badak berkenaan.
Bagaimanapun, Christina berkata, berdasarkan kajian itu, Hutan Simpan Ulu Segama dan Rizab Hidupan Liar Tabin masih lagi sesuai sebagai habitat Badak Sumbu Sumatera walaupun kawasan itu tidak lagi mempunyai populasi badak berkenaan.
Punca utama bilangan haiwan itu makin berkurangan ialah dibunuh oleh pemburu-pemburu haram yang mahu mendapatkan tanduknya. Walaupun tidak ada kajian saintifik yang menyokong dakwaan itu, namun badak-badak sumbu di seluruh dunia terus diburu dan dibunuh walaupun ada negara yang mengenakan hukuman cukup berat terhadap pemburu haram.
Di Malaysia, Badak Sumbu Sumatera tinggal dua sahaja
Di Malaysia, hanya dua Badak Sumbu Sumatera direkodkan masih hidup dan ditempatkan di Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, Sabah, iaitu Tam dan Iman. ‘Tam’ atau ‘Kertam’ (badak jantan) ditangkap pada 2008, manakala ‘Iman’ (badak betina) ditangkap pada 2014. Seekor lagi badak sumbu betina, ‘Puntung’ yang ditangkap pada 2011, terpaksa diberikan suntikan euthanasia (ubat untuk mempercepatkan proses kematian) pada 4 Jun 2017 selepas menderita barah sel skuamus atau barah kanser kulit yang serius.
Puntung yang ketika itu berusia 25 tahun, ditangkap pada tahun 2011 pernah cuba dibiakkan dengan seekor lagi badak jantan dinamakan Tam, namun gagal disebabkan masalah dalam sistem pembiakannya.
Tam yang sudah berusia 30an ialah badak sumbu jantan yang terakhir di Malaysia. Kini, Iman pula menghidap penyakit pada bahagian rahim (tumor rahim leiomyoma) dan sedang berjuang untuk kelangsungan hidupnya. Badak Sumbu Sumatera mempunyai jangka hayat kira-kira 35 tahun. Iman adalah badak sumbu betina yang terakhir di negara ini dan ditangkap di Lembah Danum sebelum dihantar ke Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu pada Mac 2014. Kini Iman merupakan satu-satunya badak sumbu betina yang dipelihara di dalam kandang di negara ini.
Selain Badak Sumatera, sebenarnya ada beberapa lagi spesis unik tetapi terancam di hutan Malaysia. Antaranya adalah Harimau Malaya, Black Shrew (tikus hitam), Tapir Malayan (spesis tapir terbesar), Kancil dan Orang Utan. Sekiranya kita tidak mengambil serius terhadap usaha pemeliharaan serta pemuliharaan flora dan fauna, pasti kita akan kehilangan lebih banyak spesis yang semakin terancam. Usaha untuk menukar laluan ECRL sehingga dapat menyelamatkan Permatang Kuarza Gombak adalah sangat wajar untuk kita hargai.
Namun, lebih daripada itu, usaha serius untuk menyelamatkan hutan serta alam sekitar kita perlulah lebih dipergiatkan. Dan, ia perlu bermula sekarang, tanpa perlu bertapi-tapi lagi. Kalau panda yang diimport boleh kita jaga dan santuni dengan kos yang sangat tinggi, peruntukan yang sama juga seharusnya dikeluarkan untuk menyelamatkan haiwan tempatan lain yang diancam kepupusan. Jam terus berdetik, dan masa semakin suntuk. Pilihan ada di tangan kita.