Memang sukar untuk membezakan item resume yang perlu ada dalam resume ketika ingin memohon pekerjaan. Resume harus menampilkan kekuatan profesional dan peribadi anda secara komprehensif namun ringkas. Admin mempunyai panduan yang berguna dan menyeluruh untuk menyusun resume. Sekiranya anda ingin mengelakkan maklumat yang tidak perlu tetapi pada masa yang sama memaparkan aspek pengalaman dan kelayakan yang paling relevan, maka panduan ringkas ini adalah untuk anda!
#1 Pengalaman Bekerja
Salah satu perkara yang wajib dalam resume anda adalah pengalaman bekerja anda. Anda perlu menunjukkan rekod prestasi pengalaman bekerja yang relevan dan boleh dipercayai. Tidak perlu untuk menyenaraikan setiap pekerjaan yang pernah anda lakukan. Pekerjaan separuh masa yang tiada kaitan dengan jawatan yang anda pohon mungkin tidak perlu dimasukkan. Sertakan jawatan yang pernah disandang dan paling terkini, termasuk kedudukan semasa anda. Sekiranya anda mempunyai banyak pengalaman bekerja, tunjukkan senarai yang bermula dengan jawatan yang dapat memperlihatkan kemahiran dan kecekapan anda serta memenuhi syarat dengan kerja yang anda pohon. Perkara yang paling penting adalah untuk menunjukkan pengalaman bekerja yang boleh dipercayai dan berkaitan dengan skop kerja.
#2 Pengalaman Pendidikan
Anda juga boleh menyertakan senarai kelayakan akademik anda. Senaraikan semua ijazah atau sijil yang telah anda peroleh, serta nama institusi yang memberi anda sijil-sijil tersebut. Sesetengah majikan akan lebih berminat dengan pengalaman akademik anda berbanding dengan perkara yang lain. Jadi, anda perlu pertimbangkan beberapa perkara seperti GPA, anugerah akademik, dan lain-lain.
#3 Kemahiran Khas dan Pengalaman
Dalam bahagian ini, anda boleh memasukkan sebarang kemahiran atau pengalaman khusus anda yang memenuhi syarat untuk jawatan yang dipohon. Ini termasuk pengetahuan mengenai program komputer, bahasa, pengalaman latihan industri, atau kemahiran lain yang dapat menunjukkan kualiti dan kemampuan yang unik.
#4 Kerja Sukarela
Kerja-kerja sukarela mungkin tidak selalu mempunyai kaitan dengan pekerjaan yang anda pohon, tetapi pengalaman anda berkhidmat kepada orang lain adalah sebuah kualiti yang menarik di mata mana-mana majikan. Antara lain, ia juga menunjukkan bahawa anda sanggup bekerja dengan baik bersama orang lain dan prihatin terhadap mereka. Perkara ini boleh merangkumi kerja amal, mengajar, aktiviti khidmat masyarakat dan sebagainya.
Diingatkan bahawa resume perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menarik hati pembaca atau pemilih. Ia bertujuan mengenalkan diri sebaik mungkin tanpa penipuan atau pemalsuan fakta. Ini adalah kerana individu yang telah berjaya dalam peringkat pertama ini akan dipanggil untuk sesi temuduga.