Stres merupakan suatu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya. Ia sememangnya tidak dapat dielakkan, lebih-lebih lagi dalam bidang perniagaan.
Kebanyakan orang melabelkan stres sebagai sesuatu yang boleh memberikan kesan buruk kepada pengalaminya. Untuk pengetahuan anda, sesetengan stres boleh menjadikan anda usahawan yang hebat.
#1. Melatih diri menguruskan tekanan dengan baik
Percaya atau tidak, stres boleh melatih diri seseorang untuk menguruskan tekanan dengan baik. Apabila telah terbiasa dengan stres, ia akan menjadikan anda lebih tenang.
Usahawan yang bijak menguruskan tekanan akan sentiasa tersenyum, membantu ahli pasukannya menyelesaikan masalah yang dihadapi, tidak mengambil masa yang lama untuk murung dan sebagainya.
Selalunya, individu yang ‘cool’ ketika mengalami tekanan ini akan memberi contoh yang baik kepada orang di sekelilingnya.
#2. Berfikir dengan pantas dan kreatif
Apabila mengalami tekanan, secara tidak sengaja, ia akan membuatkan anda berfikir dengan lebih pantas dan kreatif berbanding dalam keadaan yang normal.
Tekanan yang dihadapi mendorong anda untuk memikirkan jalan penyelesaian dengan pantas kerana anda juga tidak mahu berada dalam keadaan tertekan dalam tempoh masa yang lama. Idea yang kreatif juga dapat dijana apabila kita berada dalam keadaan stres.
#3. Menguatkan tubuh badan
Kekuatan dan ketahanan tubuh badan bukan hanya diperoleh melalui makanan. Apa yang berlaku di sekeliling anda juga mampu menguatkan tubuh badan anda.
Menurut kajian, stres dapat membantu tubuh menghasilkan sejenis hormon yang dipanggil Cortisol (Hormone stress). Hormon ini dipengaruhi oleh tingkat stres dan boleh mempengaruhi ketahanan tubuh badan seseorang.
Namun begitu, hormon ini juga tidak boleh berlebihan kerana jika berlebihan, ia boleh mendatangkan penyakit lain seperti diabetes dan sebagainya.
#4. Menjadikan anda bersemangat untuk bersaing secara sihat
Apabila mengalami tekanan, anda akan lebih terarah untuk mencari jalan penyelesaian dalam perniagaan anda. Percaya atau tidak, anda akan semakin bersemangat untuk bersaing secara sihat dengan para pesaing di luar sana.
Perasaan tertekan itulah yang akan menolak anda untuk terus berjuang menyelamatkan perniagaan yang menghadapi masalah.
Oleh yang demikian, adalah sesuatu yang salah apabila anda merasakan stres hanya boleh memberi kesan yang negatif terhadap seseorang. Sebaliknya, stres yang baik mampu menjadikan anda seorang yang hebat pada hari ini berbanding semalam.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.