Industri Arnab Di Malaysia
Industri penternakan arnab di Malaysia masih belum popular dan diketahui umum, jika hendak di bandingkan dengan industri penternakan haiwan lain seperti kambing, lembu dan ayam.
Masih ramai yang teragak – agak dan kurang kefahaman untuk menceburi industri penternakan arnab. Walaupun begitu, sudah ada individu – individu yang berjaya setelah menceburi industri penternakan arnab ini.
Namun, kebelakangan ini semakin ramai yang cuba untuk menceburi industri arnab pedaging. Pulangan yang hebat dan mudah untuk diternak mungkin menjadi punca untuk mereka menceburi industri ini. Selain daripada kelazatan dan khasiat yang ada pada daging arnab.
Daging arnab ini mempunyai banyak khasiat dan kelebihan. Secara semula jadinya sudah memberikan kesan yang baik untuk kesihatan. Kebiasaanya jika kita ingin mengetahui tentang sesuatu perkara pasti akan membandingkan dengan apa yang sudah kita sedia maklum. Sebagai contoh, perbandingan daging arnab dengan daging ayam.
Jika hendak dibandingkan daging arnab dan ayam, daging arnab mempunyai mineral yang sangat tinggi, kecuali natrium. Malah, daging arnab juga sangat kaya dengan vitamin B12 dan vitamin E.
Manakala, ayam lebih kaya dengan vitamin B kompleks, A dan K. Daging arnab mengandungi lebih banyak protein dan juga kurang lemak.
Pertemuan antara pihak Deenamik dengan Encik Jerry. (Encik Jerry ialah yang kedua daripada kiri)
Deenamik telah melakukan sesi temu ramah dengan pemilik ladang ternakan arnab iaitu Encik Jerry pada 3 November 2020. Hasil daripada temu ramah berkenaan, kami telah memperolehi maklumat yang lebih lanjut tentang situasi penternakan arnab di Malaysia. Antaranya ialah penternakan arnab secara komersial mempunyai dua pengurusan iaitu yang pertama ialah pengeluaran daging dan pengurusan baka.
Menerusi sesi temu ramah berkenaan, banyak informasi yang telah diberikan bagi menjayakan lagi penternakan daging arnab ini. Malah, beliau juga telah mempunyai 30 tahun pengalaman di dalam industri penternakan arnab ini. Kebanyakkan penternak arnab yang berada di luar sana pernah menuntut ilmu berkaitan penternakan arnab dengan beliau.
Sistem Pengurusan
Pengeluaran Daging
- Faktor Pemakanan
Pemakanan merupakan satu faktor yang penting untuk memastikan arnab membesar dengan sihat dan daging arnab tersebut berada dalam kualiti yang baik. Ini kerana, jika kita memberikan makanan yang tidak bagus untuk arnab, ia akan memberi kesan kepada pembesaran arnab dan juga kualiti daging yang terhasil juga tidak bermutu tinggi. Oleh sebab itu, pemakanan arnab perlu di jaga.
Menurut Encik Jerry, kebanyakan arnab diberi makan dedak. Komposisi makanan yang dimakan oleh arnab, 85% adalah daripada rumput. Namun begitu terdapat cabaran yang dihadapi oleh penternak arnab atas faktor kos pemakanan arnab. Harga dedak mahal berikutan kos operasi arnab ini belum mencapai kos yang minima seperti penternakan haiwan yang lain. Disebabkan hal ini, ia telah menjadi punca harga daging arnab mahal.
Arnab ternakan Encik Jerry.
- Penjagaan Arnab
Encik Jerry mahu menggalakkan golongan muda untuk menyertai industri penternakan arnab ini kerana menternak arnab tidak memerlukan kawasan yang besar seperti menternak lembu. Menurut beliau, arnab tidak memerlukan ruang yang luas, di kawasan yang kecil juga boleh menternak sebanyak 200 hingga 300 ekor.
Tambahan pula, jika kita mempunyai tanah di kampung dan dari situ boleh mulakan penternakan arnab. Arnab induk perlu diasingkan dengan arnab yang lain. Keluasan tempat penjagaan arnab bagi 5 hingga 6 ekor arnab adalah seluas satu setengah kaki kali tiga kaki.
Menurut Encik Jerry, arnab akan diternak sehingga 100 hari sebelum arnab tersebut boleh dijual. Dalam tempoh 100 hari tersebut, arnab boleh mencecah sehingga berat badan 2.5 kilogram. Encik Jerry menggunakan ladang satu layer kerana faktor tanah di Malaysia yang memudahkan ternakan arnab ini untuk membiak berbanding dengan 3 layer. Beliau mengatakan 3 layer adalah sesuai untuk negara yang tidak mempunyai tanah yang mencukupi.
Tambahan pula ladang 3 layer akan menyebabkan penyakit tersebar kepada arnab dengan cepat, sebagai contoh kurap. Selain itu, arnab juga akan stress dan boleh berlaku pergaduhan antara arnab. Bukan itu sahaja, ia juga dapat menyebabkan arnab tidak mahu dikahwinkan kerana kawasan ladang yang sempit. Haiwan pemangsa seperti biawak dan anjing liar juga merupakan salah satu masalah dalam penjagaan arnab. Disebabkan itu beliau membela anjing sebagai pengawal ladang arnab.
Ladang ternakan arnab Encik Jerry.
Pengurusan Baka
Pengurusan baka arnab memainkan peranan penting dalam menjayakan dan membangunkan ladang arnab ini. Pengurusan baka yang baik dapat menghasilkan daging arnab yang berkualiti. Bukan itu sahaja, baka yang baik akan dapat menghasilkan arnab yang bermutu tinggi dan tumbesaran arnab tersebut juga cepat.
Tambahnya, baka yang bagus, setelah dijaga selama 100 hari berat arnab akan mencecah sehingga 2.5 kilo sebelum arnab tersebut akan diproses. Jika, baka yang tidak bagus, berat arnab tersebut akan mencecah sehingga 1.8 kilo dalam tempoh 100 hari. Arnab induk perlu di tukar untuk setiap 2 tahun bagi mendapatkan arnab pedaging yang berkualiti dan bermutu.
Baka arnab import dan tempatan mempunyai perbezaan yang ketara. Bagi menjayakan industri penternakan ladang arnab ini, penternak perlulah memilih baka yang baik, kerana baka yang baik mudah untuk membiak serta dibesarkan. Menurut Encik Jerry, arnab import lebih cepat untuk membesar berbanding arnab tempatan.
Arnab tempatan agak lambat dalam proses pembesaran, ini kerana telah menyebabkan berlaku kelewatan proses dalam penjualan daging arnab. Terdapat lima jenis baka arnab yang telah digunakan di Malaysia iaitu New Zealand White, California, Chinchilla, Australia dan lain-lain yang menjadi pilihan para penternak arnab dan pedaging arnab. Baka- baka ini diimport dari United Kingdom, German Barat, Itali dan Perancis.
Perancangan
Peluang Mengembangkan Lagi Industri Penternakan Arnab
Menerusi sesi temu ramah, Encik Jerry ada menjelaskan industri penternakan arnab ini masih boleh dikembangkan lagi. Ini kerana Malaysia mempunyai tanah yang mencukupi untuk menternak, tambahan pula bagi mereka yang mempunyai tanah di kampung.
Penternak arnab yang sebelum ini pernah menuntut ilmu dengan Encik Jerry sudah ada yang berjaya. Menurutnya lagi, ramai yang menternak secara kecil – kecilan dan ada juga yang telah berjaya menternak dalam kuantiti yang besar.
Ada juga penternak arnab di Malaysia yang menghadapi masalah semasa mahu mengembangkan ternakan arnab mereka. Walaupun begitu, beliau berharap agar ramai lagi anak muda bumiputera untuk menceburi bidang penternakan arnab ini.
Ini kerana jika sudah ramai yang menceburi bidang penternakan arnab ini, daging arnab akan menjadi daging komersial. Maka, setiap hari pasti akan ada yang membeli.
Kursus Buat Penternak Baru
Beliau juga turut menyatakan bahawa beliau akan membantu kepada sesiapa yang ingin mempelajari ilmu penternakan arnab daripadanya. Kepada yang berminat untuk mempelajari bagaimana mahu menternak arnab, anda boleh menghubungi Encik Jerry di talian 012-636 2833. Beliau ada menyediakan kursus selama 3 hari untuk mereka yang baru hendak menceburi bidang ini atau yang mahu membesarkan ladang penternakan arnab.
Beliau akan mengajar dan berkongsi pengalaman 30 tahun beliau di dalam industri penternakan arnab ini, terutama bagi mereka yang baru di dalam industri penternakan arnab. Beliau akan mengajar daripada semua sudut, antaranya cara untuk membuat sangkar, cara untuk membiakkan arnab, cara untuk besarkan arnab tersebut dan cara untuk melakukan pemasaran. Kursus ini akan dilakukan di ladang Encik Jerry.
Tambah beliau lagi, pihak kerajaan perlu memberi sokongan kepada para penternak arnab dan kepada mereka yang baru dalam industri ini. Menurut beliau, pertanian adalah perniagaan, ternakan ini akan berjaya jika pihak kerajaan memberikan bantuan. Ini kerana bidang penternakan dan pertanian dahulunya merupakan sumber rezeki masyarakat Malaysia.
Masalah & Cabaran Yang Di Hadapi Industri Penternakan Arnab Di Malaysia
Masalah Penternakan di Ladang Arnab
Kekurangan stok sering kali menjadi masalah buat Encik Jerry, arnab yang beliau ada tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan oleh pelanggan tetap beliau. Ini merupakan satu masalah kerana beliau adalah pembekal daging arnab kepada beberapa restoran.
Disebabkan itu, beliau kadang kala akan mencari stok dari luar untuk memenuhi permintaan pelanggan. Jelasnya lagi, banyak restoran telah mula menjual makanan dari daging arnab seperti contoh sate. Ramai peniaga yang sudah berjinak – jinak dalam menjual sate arnab.
Kos makanan arnab juga merupakan salah satu masalah dalam penternakan arnab. Ini kerana, bekalan makanan arnab adalah makanan yang diimport daripada negara lain. Malaysia sangat bergantung kepada makanan yang diimport, ini telah menjadikan harga makanan mahal.
Apabila harga makanan mahal, arnab yang dijual juga akan turut sama menjadi mahal. Ini kerana untuk mendapatkan daging yang berkualiti tinggi, makanan yang diberikan perlulah berkhasiat untuk arnab dan tidak memudaratkan arnab tersebut.
Cabaran Penternakan di Ladang Arnab
Menurut Encik Jerry, di sepanjang pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ini. Industri penternakan dan pertanian tidak mempunyai banyak masalah. Ini kerana ianya merupakan sumber makanan, tambahan pula dengan kawalan pergerakan yang dilakukan. Ramai orang memerlukan makanan dan industri ini tidak terganggu kerana masih ada orang yang mahu mendapatkan bekalan.
Tambah beliau sumber makanan sangat penting jadi ianya tidak menjadi sebarang masalah dengan permintaan daging arnab. Tetapi ia menjadi sedikit masalah apabila mahu memenuhi permintaan daging arnab yang kian meningkat.
Tambahan pula sudah ramai peniaga menjual makanan yang dibuat dari daging arnab. Ini telah meningkatkan lagi permintaan. Kekurangan stok untuk memenuhi permintaan pelanggan merupakan salah satu cabaran yang di hadapi.
Disebabkan itu, Encik Jerry sangat berharap agar anak muda di luar sana untuk menceburi bidang penternakan.
Galakan Buat Penternak Baru
Kepada penternak yang baru hendak menceburi bidang penternakan arnab ini. Jangan risau untuk mencuba benda baharu. Ini kerana menternak arnab sangat mudah. Daging arnab sangat berkualiti dan sangat baik untuk kesihatan. Malah, untuk menternak arnab tidak memerlukan kos yang banyak. Seperti yang dikatakan oleh Encik Jerry menternak arnab hanya memerlukan ‘low investment’.
Beliau sangat mengalakkan anak muda untuk menternak arnab. Ini kerana produktiviti arnab sangat tinggi. Beliau menjelaskan bahawa dalam kitaran 30 hingga 32 hari selepas arnab dikahwinkan, arnab tersebut akan bunting. Bagi arnab yang telah melahirkan anak, beliau akan memastikan anak arnab tersebut sudah ‘cerai susu’ baru ibu arnab boleh dikahwinkan lagi. Kalau hal ini tidak di jaga, jangka hayat arnab akan menjadi pendek.
Beliau mengharapkan anak muda yang mahu menceburi bidang ini dapat menjadikan daging arnab sebagai salah satu daging alternatif seperti daging ayam, lembu dan kambing.
Beliau mahu industri penternakan arnab ini lebih dikenali dan ramai yang menceburi kerana daging arnab ini terbukti mempunyai banyak khasiatnya terhadap kesihatan.
Beliau juga mengharapkan industri ini dikenali dan usahawan muda terutama sekali untuk menceburi bidang ini supaya mereka boleh berjaya, ini kerana industri makanan tidak akan mati kerana orang ramai memerlukan sumber pemakanan. Tambahan pula dengan situasi COVID-19, ramai yang mula untuk bercucuk tanam dan ada juga yang mula menjinak – jinakkan diri untuk menceburi bidang penternakan dan pertanian.
Beliau bukan sahaja mahu mengalakkan tetapi beliau mahu anak muda menternak arnab sehingga menjadi usahawan yang berjaya. Jika ada yang mengikuti kursus yang dikendalikan oleh beliau, beliau mahu mengajar penternak baru sehingga boleh memproses arnab dengan sendiri, dan boleh menambah nilai daging arnab itu sendiri.
Malah, agensi kerajaan juga perlu memainkan peranan dengan mengalakkan usahawan muda menceburi industri penternakan arnab. Selain itu, turut membantu para penternak arnab yang sudah sedia ada di dalam industri ini untuk terus berkembang.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan dan inginkan maklumat lanjut berkaitan dengan kursus penternakan arnab yang disediakan oleh Encik Jerry, anda boleh menghubungi Encik Jerry di talian 012-636 2833.