Apa yang anda tahu tentang hutang? Hutang dalam bahasa mudah adalah bayaran wang yang belum dipulang balik. Atau lebih tepat dalam segi bahasa hutang ialah sebarang bentuk liabiliti (tanggungan) masa hadapan yang dipertanggungkan ke atas seseorang sama ada dalam bentuk wang dan sebagainya.
Sebagai orang islam, hutang wajib dibayar. Ini kerana hutang juga merupakan satu amanah yang wajib ditunaikan dengan secara adil dan hukum untuk melangsaikannya sebagai satu akad antara sesama manusia adalah wajib, ini seperti disebutkan di dalam al-Quran:
إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.
(Surah al-Nisa: 58)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ ۚ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.
(Surah al-Maidah: 1)
Hukum berhutang adalah harus di dalam Islam. Namun ianya bukanlah bertujuan untuk bermewah-mewahan. Islam memilih jalan berhutang sebagai jalan terakhir jika benar-benar tersepit. Justeru, Islam menggalakkan umatnya agar memberi bantuan kepada saudara yang memerlukan, lebih-lebih lagi dalam hal keperluan kehidupan.
Menurut sabda Rasulullah SAW. Jiwa orang yang berhutang akan tergantung selagimana dia tidak melunaskan hutangnya terlebih dahulu.
نَفْسُ المُؤمِنِ مُعَلّقَةٌ بِدَيْنِه حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
Maksudnya: Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.
Hadith riwayat Tarmidzi: (1079)
Walaupun begitu, dosa berhutang tidak terampun kecuali dihalalkan oleh si pemiutang tersebut walaupun mati sebagai mati syahid. Rasulullah SAW bersabda:
يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إلَّا الدَّيْنَ
Maksudnya: Diampunkan semua dosa bagi orang yang terkorban mati syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia).
Hadith riwayat Muslim: (1886)
Oleh itu, penghutang mestilah mengetahui adab apabila berhutang. Di sini akan dijelaskan bagaimana adab berhutang.
- Merekodkan Hutang : Catatkan hutang walaupun jumlahnya kecil dan hanya melibatkan ahli keluarga. Amalan ini bukan disebabkan ketidakpercayaan kepada mereka tetapi kerana mahu mengejar pahala sunat yang digalakkan oleh Allah.
- Jangan Melambatkan Bayar Hutang : Sikap yang lebih hina, apabila seseorang dengan sengaja tidak mahu membayar hutang. Sengaja mengelak dan merasakan dirinya beruntung apabila berjaya melepaskan diri daripada membayar hutang.
Namun, untuk pengetahuan anda, mereka yang behutang bakal diisytiharkan muflis di akhirat kelak apabila terpaksa membayar kembali segala hutang tersebut dengan segala pahalanya kepada pemberi hutangnya di dunia dahulu. Pada masa itu penyesalan sudah tidak bermakna lagi.
- Tambahan Masa Kepada Penghutang : Pemberi hutang yang memberikan masa tambahan kepada penghutang oleh kerana kesulitan membayar hutang. Mereka bakal mendapat pahala yang besar atas kelonggaran yang diberikan.
Jika pemberi hutang memberi niat atas bersedekah ke atas penghutang tersebut. Ganjaran yang lebih hebat akan diberikan kepada pemberi hutang.
Kesimpulannya disini, sekiranya kita berhutang, cuba sedaya upaya untuk melunaskannya. Ini kerana bukan sahaja melibatkan dosa dan pahala. Malah, jika hutang tidak dilunaskan, kemungkinan untuk berlaku permusuhan, bermasam muka dan salah faham antara satu sama lain akan berlaku.
Hal ini akan memburukkan lagi keaadan, disebabkan itu penghutang mestilah mengambil inisiatif untuk melangsaikan hutang tersebut untuk mengelakkan berlaku masalah dan seksa di akhirat.
Sumber : Berita Harian, Majalah Libur, Bayan Linnas