Pada pertengahan bulan Disember tahun ini, timbul isu hangat yang mengejutkan kepada semua rakyat Malaysia terutama sekali kepada rakyat yang beragama Islam. Isu ini semakin hari semakin hangat diperkatakan kerana ianya telah menyebabkan isu paling besar bagi umat Islam iaitu status halal dan haram.
Isu yang dimaksudkan ialah isu penyeludupan kartel daging ke Malaysia yang telah diberikan cop halal. Syarikat yang terlibat dikatakan telah membungkus semula daging seludup yang tidak dikenal pasti dagingnya itu dengan cop halal. Pelbagai pihak telah turun padang bagi menyiasat isu kartel daging ini.
Siasatan secara berterusan telah dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Kerjasama yang dilakukan sama sekali tidak membuktikan kesalahan mana-mana pihak yang terlibat.
Siasatan lanjut akan dikendalikan sepenuhnya oleh KPDNHEP. Pihak JAKIM menyatakan bahawa pihak mereka sudah memberikan kenyataan yang sebetulnya dan membiarkan KPDNHEP melakukan tindakan susulan.
Kejadian ini adalah antara yang terbesar kerana ianya melibatkan isu halal-haram bagi umat Islam yang sememangnya golongan majoriti di Malaysia. Perkara ini perlu diambil serius dan tindakan yang tegas perlu dilaksanakan.
Dengan wujudnya pembongkaran ini, terdapat beberapa syarikat pembekal daging yang telah disiasat untuk tindakan susulan. Dengan ini, rakyat mungkin perlu berhati-hati sebelu membeli daging import. Adalah baik sekiranya buat masa kini rakyat membeli daging yang dibekalkan oleh syarikat tempatan yang telah disahkan kehalalannya.
Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, apa yang boleh dilakukan adalah mendengar dengan teliti apa yang telah diperkatakan oleh pihak berkuasa. Jangan terlalu ceroboh untuk menjadi antara rakyat yang menyebarkan berita yang tidak benar.
Sumber : Berita Harian, BERNAMA
Sekiranya terdapat kecurigaan terhadap daging-daging import yang dipasarkan di pasar raya atau kedai runcit, rakyat boleh mendapatkan bekalan daging segar daripada pembekal daging tempatan. Ulusan lanjut berkaitan perkara ini juga perlu dielakkan supaya ianya tidak mengganggu siasatan yang telah dijalankan.