Sesi persekolahan bagi tahun 2021 telah pun bermula pada 20 Januari yang lalu. Para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar pada tahun lalu sahaja yang dibenarkan ke sekolah untuk pembelajaran secara bersemuka.
Pelajar selain daripada itu hanya menjalani pelajaran dan pembelajaran di rumah. Berikutan perkara ini, pelbagai reaksi masyarakat yang telah dilihat menerusi laman media sosial.
Sepanjang tiga hari ini, pelbagai gelagat yang telah dirakam oleh media akhbar berkaitan PdPR yang dijalankan. Antara kisah menarik yang telah diberikan adalah berkaitan tiga orang beradik yang sanggup untuk mendaki bukit untuk mendapatkan capaian internet.

Dikatakan mereka mendaki bukit setinggi 600 meter di kawasan Kampung Gana hampir setiap hari. Semua adik beradik yang bersekolah rendah itu menyatakan bahawa mereka teruja untuk melakukan perkara ini pada setiap hari semata-mata untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.
Bapa kepada tiga beradik itu merupakan seorang guru dan beliau sangat memahami keperluan anak-anaknya. Setelah mengetahui tempat tersebut mempunyai rangkaian internet yang bagus, beliau mula membersihkan kawasan sekitar dan mengikuti anak-anaknya untuk menjalani pembelajaran di situ.
Selain itu, terdapat juga kisah di mana ibu bapa perlu menggunakan wang untuk membeli gajet buat anak-anak. Kegunaan gajet dilihatkan semakin penting kerana setiap pembelajaran dalam talian memerlukan gajet dan rangkaian internet.
Whatsapp serta Google Classroom menjadi aplikasi utama sepanjang menjalankan pembelajaran dalam talian ini. Bagi keluarga yang kurang berkemampuan, perkara ini mungkin menjadi beban baharu buat mereka.
Anak-anak mungkin tidak dapat mengikuti kelas secara dalam talian dan gajet yang ada kadang-kala tidak mampu untuk menampung keperluan anak-anak. Melihatkan kejadian ini, kerajaan khususnya mungkin perlu untuk mestrukturkan semula kumpulan PdPR ini.
Bagi golongan yang kurang berkemampuan, diharapkan mereka mendapat bantuan untuk mengharungi kehidupan sepanjang PKP ini.
Antara perkara lain yang boleh dilakukan oleh pelajar untuk belajar adalah dengan mengikuti sesi pembelajaran TV Pendidikan yang disiarkan di televisyen. Selain itu, pelajar mungkin perlu mendisiplinkan diri di dalam pembelajaran ‘self-learning’.
Situasi ini mungkin berbeza bagi setiap orang, namun apa yang utama adalah kesungguhan semua rakyat dalam membendung penularan COVID-19. Kekal duduk di rumah jika tiada urusan penting adalah perkara utama yang boleh dilakukan.
Sumber : Metro