Apa Itu Mangga Harumanis?
Mangga Harumanis Perlis merupakan klon mangga MA 128 dan merupakan antara baka mangga terbaik di Malaysia. Harumanis atau dikenali juga sebagai harum manis adalah sejenis buah mangga yang tumbuh di Negeri Perlis. Mangga ini mendapat namanya daripada sifat mangga itu sendiri, iaitu baunya yang harum dan rasanya yang manis.
Pada 2 Ogos 2011, Jabatan Pertanian Negeri Perlis telah mendaftarkan Mangga Harumanis Perlis sebagai harta intelek.
Harumanis terkenal kerana rasanya enak, lain daripada mangga yang lain. Buahnya juga mengeluarkan bau yang sangat harum apabila betul-betul masak serta isinya akan bertukar kepada warna oren kekuningan.
Masih ramai antara kita yang keliru dengan gred Harumanis. Sebenarnya gred Harumanis ditentukan mengikut berat buah. Seperti,
- Harumanis Gred AA atau A+ – Berat 500gm ke atas.
- Harumanis Gred A – Berat 350gm hingga 500gm.
- Harumanis Gred B – Berat 350gm.
- Harumanis Gred C – Berat 350gm ke bawah.
Yang membezakan gred Harumanis hanyalah berat buah. Rasanya masih sama, atau kalau ada beza pun tidak begitu banyak. Selalunya terjadi ialah banyak buah dari Gred A dan B. Buah gred AA atau A+ pula hanya sedikit. Begitu juga buah gred C.
Beza mangga Harumanis dengan mangga lain, menurut Jabatan Pertanian, Harumanis Perlis adalah antara baka mangga terbaik di Malaysia. Selain rasa yang lebih enak, Harumanis begitu terkenal kerana pengeluarannya yang terhad.
Ramai yang tak tahu bahawa Harumanis hanya berbuah sekali sahaja dalam masa setahun. Tempoh berbuah pula adalah sangat terhad, iaitu dari sebulan hingga sebulan setengah sahaja untuk setiap musim. Kebiasaannya, daripada penghujung bulan April hingga awal bulan Jun.
Oleh itu, buah Harumanis hanya boleh didapati dalam masa sebulan sahaja setiap tahun, atau setiap musim. Pokok Harumanis memerlukan musim kemarau dari Januari hingga Mac untuk berbunga. Tempoh ini juga dikenali sebagai “Stress Period”.
Yang membuatkannya lebih unik, mangga Harumanis hanya tumbuh di negeri Perlis. Banyak kajian dan eksperimen yang dilakukan oleh pelbagai pihak untuk menanam Harumanis di negeri lain, tetapi sehingga kini masih belum berjaya.
Ada yang pokok berjaya tumbuh, tetapi tidak mengeluarkan buah langsung. Ada pula yang pokok pun tak tumbuh. Ada yang berjaya tumbuh dan berbuah, namun buahnya tidak setanding dengan yang tanam di negeri Perlis.
Mungkin tanah dan iklim di Perlis sahaja sesuai untuk tanaman manga Harumanis. Faktor-faktor ini membuatkan Harumanis adalah unik dan berbeza daripada mangga-mangga lain di pasaran Malaysia, mahupun dunia.
Peminat Harumanis yang asli boleh mendapatkannya di Perlis. Selalunya akan dijual pada penghujung bulan April sehingga lewat Jun pada setiap tahun atau musim. Ada juga pihak yang menjualnya pada lewat bulan Mac. Walaubagaimanapun, keaslian buah yang dijual awal ini tidak dapat dipastikan.
Oleh itu, jika anda hendak merasai keenakan Harumanis asli, tunggu sehingga buah gred AA/A betul-betul berada di pasaran.
Pihak kami sendiri pernah meninjau buah Harumanis yang dijual di sekitar Kuala Lumpur sebelum ini. Ada yang menjual Perlis Sunshine dan mendakwa itu adalah Harumanis. Ada juga yang menipu dengan menjual mangga Sala yang dijual dengan harga Harumanis.
Tidak menjadi masalah sekiranya anda tahu bagaimana untuk mengenal buah mangga Harumanis. Tetapi jika anda sendiri tak kenal Harumanis asli, sudah pasti ini menjadi satu masalah buat anda.
Harumanis merupakan sumber kekayaan negeri Perlis. Buahnya bukan sahaja menjadi ikon negeri berkenaan bahkan juga kebanggaan negara kerana varieti berkenaan sahaja yang dibenarkan oleh Kerajaan Jepun untuk diimport dari Malaysia.
Sumber: Jabatan Pertanian Negeri Perlis
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk iklan anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com