Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan dari penjara Selasa ini, perkara itu disahkan sendiri oleh anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar kepada Reuters hari ini.
Anwar dipenjarakan pada 2015 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya terhadap sabitan bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan serta hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Tinggi.
Ramai pihak beranggapan bahawa Anwar Ibrahim telah dianiayai dan tuduhan tersebut adalah satu konspirasi yang bermotifkan politik.
Walaubagaimanapun, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata semua usaha akan dilakukan bagi membebaskan Anwar – bekas orang kanannya secara serta-merta dan memperoleh pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri yang baru dilantik itu menjelaskan pada Jumaat lalu bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah menyatakan kesediaan Seri Paduka untuk memberi pengampunan segera kepada Anwar Ibrahim.
“Ia adalah pengampunan penuh, yang juga bermaksud beliau bukan sahaja diberi pengampunan tetapi juga akan dibebaskan dengan segera apabila mendapat pengampunan,” kata Dr. Mahathir.
Setelah dibebaskan, Anwar Ibrahim berkemungkinan akan diberikan jawatan penting oleh Tun Mahathir. Namun, jawatan yang bakal disandang Anwar itu masih menjadi persoalan kerana terdapat beberapa prosedur yang perlu dilakukan beliau setelah bebas dari penjara nanti.
Sumber : BERNAMA
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk iklan atau artikel anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com