Jenazah Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akan diterbangkan menggunkan helikopter di lapangan terbang dan dibawa pulang ke Kedah bagi dikebumikan di kampung halamannya. Allahyarham akan dikebumikan di Kampung Tebengau, Kuala Kedah atas permintaan keluarga. Jenazah Allahyarham dibawa keluar dari perkarangan Institut Forensik Perubatan Negara (IPFN),Kuala Lumpur pada jam 7:18 pagi tadi.

Sumber dari Bernama, mangsa yang mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) telah disahkan meninggal dunia pada jam 9:41 malam tadi. Jenazah mangsa dibawa keluar dengan menggunakan van jenazah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan juga diiringi oleh pasukan pengiring JBPM dan Polis Diraja Malaysia sebelum dibawa ke lapangan Subang.
Allahyarham Muhammad Adib dimandi, dikafan dan disembahyangkan di perkarangan IPFN di mana disertai lebih 50 jemaah yang terdiri daripada pegawai kanan dan juga anggota bomba. Jenazah akan dikebumikan selepas solat zuhur.

Seperti sedia maklum, Muhammad Adib merupakan salah seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera parah ketika rusuhan. Jenazah dipercayai cedera parah akibat dipikul secara beramai-ramai oleh sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, kes ini akan diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh. Kes ini masih lagi di dalam siasatan dan sekiranya suspek berjaya ditahan akan berdepan dengan Syeksen 302 Kanun Keseksaan di mana tertuduh bakal berdepan dengan hukuman gantung sampai mati.