Sesiapa sahaja yang melihat model baharu yang dikeluarkan oleh Proton ini pasti akan jatuh cinta dengan ‘kekacakan’ kereta ini lagi-lagi jika anda memandunya di atas jalan raya. Memang anda akan jadi spotlight lah di atas jalan!
Nampaknya selepas ini kita akan melihat banyaklah orang yang akan memandu kereta model terbaharu dari Proton ini kerana sebanyak 200-300 model kereta Proton X70 ini telah berjaya dijual pada setiap hari selepas ianya dilancarkan dengan rasminya pada 12 Disember yang lalu. Sehingga kini, tempahan bagi model SUV pertama Proton ini telah menerima sebanyak 15, 000 buah.
Model X70 ini dilengkapi dengan teknologi yang canggih seperti model-model kereta jenama yang lain kerana mempunyai teknologi komunikasi mudah alih, sistem maklumat kokpit bersepadu maju yang bakal menawarkan pelbagai perincian kepada pengguna. X70 ini juga mempunyai keupayaan untuk disambungkan dengan peralatan mudah alih anda.
Didatangkan dengan empat pilihan warna yang berbeza yang anda boleh pilih seperti ‘snow white, armour silver, jet grey, cinnamon brown dan flame red.’
Model pertama SUV Proton ini menawarkan anda dengan pakej tambah nilai khas dengan percuma alat ganti dan kos buruh bagi servis pertama anda serta kos buruh percuma untuk lima servis berjadual bagi 100, 000 kilometer atau selama lima bulan.
Bukan itu sahaja yang ditawarkan kepada anda jika anda membeli X70 kerana ianya turut menawarkan kadar faedah rendah bermula 2.34 peratus setahun khas untuk pembeli yang layak, dengan jaminan perbatuan tidak terhad sehingga lima tahun dan apa yang lebih menarik, anda juga akan diberikan data internet sebanyak satu gigabait sebulan selama lima tahun.
Model X70 ini dijual bermula RM99, 800 hingga RM123, 800 (semenanjung Malaysia) berdasarkan jenis model yang anda pilih. Anda boleh menerima kereta dalam tempoh masa dua hingga ke tiga bulan daripada tarikh tempahan yang anda buat serta bergantung kepada varian dan warna yang telah dipilih.
Model SUV pertama Proton yang mendapat sambutan ramai ini menerapkan ciri-ciri model terbaik Boyou Geely. X70 telah mula dibuka tempahan secara online pada 17 Oktober yang lalu.