Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini bagi tempoh lima tahun, menggantikan Sultan Muhammad ke-V.

Istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan yang akan diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara akan turut menyaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.

Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar telah berangkat dari Istana Abdulaziz pada jam 7.10 pagi dengan diiringi Tengku Mahkota Pahang yang juga Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah turut sama mengiringi keberangkatan baginda.

Rakyat jelata Pahang turut mengiringi keberangkatan Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang ke ibu negara hari ini.

BACA JUGA :   “SAYA TIDAK TAHU”- KATA PM BERKENAAN PERKAHWINAN AGONG

Seawal 5.30 pagi lagi, ribuan rakyat jelata terdiri daripada pelbagai kaum serta lapisan umur berdiri di luar Istana Abdulaziz, Bandar Indera Mahkota dan Pekarangan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Kuantan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada baginda dan Tunku Azizah.

Baginda berdua disambut di Pangkalan Udara Kuantan kira-kira setengah jam kemudian dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ oleh rakyat jelata yang berdiri di kiri dan kanan jalan tersebut sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Pahang.

Istiadat Memuliakan Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong itu dimulakan dengan ‘Hormat Diraja’ dan disusuli lagu Negaraku oleh Pancaragam TUDM, Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Pasangan diraja itu kemudiannya menaiki kenderaan khas sambil melambai rakyat jelata yang bercuti umum hari ini sebelum menaiki pesawat khas yang berlepas pada 8.34 pagi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang yang mengambil masa kira-kira 45 minit.

BACA JUGA :   Yang Di-Pertuan Agong Menitahkan Tidak Perlu Laksanakan Darurat

Baginda Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah kemudiannya berangkat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Kapal Terbang Antarabangsa (KLIA) pada jam 9.15 pagi.

Ketibaan pasangan diraja ini disambut oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman serta pegawai kerajaan.

Istiadat keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut disambut pasukan Kawalan Kehormat Setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota, diketuai Kapten Abdul Munir Mohani @ Che Omar.

Baginda kemudian berangkat ke Parlimen bagi istiadat sambutan oleh pemimpin negara dan akan disambut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersama Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum berangkat ke Istana Negara.

 

 

 

Facebook Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here