Kejam dan tragis. Itulah yang boleh digambarkan apabila mayat seorang kanak-kanak perempuan 11 tahun yang hilang sejak 11 hari lalu ditemui dalam keadaan tragis, dipercayai mati dibunuh kira-kira tiga kilometer dari rumahnya di Tanjung Medang Kemahang di Pekan, Pahang.
Mayat mangsa, Siti Masyitah Ibrahim ditemukan kira-kira jam 4 petang Sabtu, oleh penduduk kampung yang memburu ayam hutan di kawasan itu sebelum melaporkan kepada polis.
Mayat kanak-kanak yang berketurunan Kemboja tersebut ditemukan tanpa seluar dan keadaan tangannya diikat. Polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan serta mengklafikasikan kes sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat dikeluarkan.
Laporan awal siasatan, mayat tersebut ditemui dalam keadaan kepalanya terpisah daripada badan, tangan dan kaki diikat serta beberapa organ dalaman tidak ditemui.
Luluh dan berkecai hati seorang ibu apabila melihat keadaan anaknya yang tidak sempurna itu.
Menurut ibu mangsa, Zaleha Abdullah, 35, Siti Masyitah telah meminta izin untuk keluar rumah pada pukul 5 petang dan meminta wang RM1 daripadanya sebelum dia dipercayai hilang pada hari kejadian.
Pada awalnya, dia tidak mengesyaki anaknya hilang, namun mula menjadi risau apabila Siti Masyitah tidak pulang ke rumah selepas waktu Maghrib.
Dia kemudiannya menyuruh anak lelaki sulungnya mencari Siti Masyitah namun masih juga tidak dijumpai dan telah meminta bantuan orang kampung kira-kira jam 10 malam dan pada waktu yang sama orang kampung menjumpai basikalnya. Dia kemudiannya bertindak melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.
Setiap hari dia tidak putus memanjatkan doa dan berterima kasih kepada orang kampung yang membantu mencari anaknya sehingga ditemui.
Zaleha pergi melihat sendiri mayat tersebut dan mayat tersebut sememangnya mayat anak perempuannya berdasarkan baju yang dipakainya. Dia mengecam baju tersebut kerana baru seminggu membelinya dan ia merupakan baju kegemaran Siti Masyitah.
Tergamak pembunuh yang membunuh Siti Masyitah. Kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana sanggup membunuh dan memperlakukan mangsa dengan tragis sehingga keadaan dirinya tidak sempurna.
Semoga pembunuh tersebut ditemui dengan cepat dan dikenakan tindakan undang-undang yang setimpal dengan perbuatannya.
Semoga adik Siti Masyitah tenang di sana. Al-Fatihah.