KUALA LUMPUR: Anda semestinya berasa bangga jika barangan tempatan menjadi kegemaran masyarakat luar negara.
Itulah yang terjadi di China di mana produk hasil tani tempatan, durian Musang King menjadi kegemaran penduduk di sana.
Durian Musang King mencetuskan fenomena kegilaan di kalangan mereka dan berada dalam carta setaraf dengan i-Phone X.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata rakyat di republik itu sanggup berbaris panjang untuk mendapatkan durian Musang King tempatan yang mula dieksport ke China, sejak 2012.
“Di China, ada dua perkara sahaja orang beratur panjang. Pertama, apabila Amerika Syarikat mengeluarkan produk baharu, i-phone X dan kedua, durian Malaysia” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) dan Sim Tong Him (BEBAS-Kota Melaka) yang mempersoalkan punca harga durian Musang King naik mendadak dan terlampau tinggi, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, durian adalah satu-satunya produk hasil tani yang boleh dieksport dalam kuantiti besar dan mempunyai nilai yang tinggi dan amat berbeza dengan pengeksportan nanas dan nangka.
“Durian Musang King tempatan sangat digemari kerana keunikan luar biasa, nilai dan rasanya,” katanya.
Berhubung punca durian yang didakwa mencecah hingga RM100 sekilogram (sekg), sehingga mencetuskan kemarahan penggemar durian.
“Kenaikan itu berlaku kerana musim pengeluaran buah durian menurun ketara hingga 20 peratus berbanding musim lalu” kata beliau.
Kenaikan harga tidak ada kaitan dengan eksport besar-besaran ke China tetapi berkaitan dengan faktor musim.
“Pengeluaran tahun ini hanya 20 hingga 30 peratus daripada pengeluaran sebelumnya, jadi harga naik mendadak” katanya.
Teruskan layari Deenamik.com dan like FB page Deenamik untuk dapatkan info-info terkini serta isu-isu viral dari dalam dan luar negara.
Layari Daulah Online Bookstore, Kedai Buku Online Yang Menawarkan Buku-Buku Bestseller Idaman Anda Dengan Harga Termurah Di Malaysia!
Sumber:
Dipetik & diolah dari Berita Harian