Selepas ‘Dobi Muslim’, Kini Kedai Kesihatan Pula Bikin Kontroversi
Sebuah kedai kesihatan yang menjual produk-produk dari Jepun di Taman Larkin Perdana, Johor Bahru kini menjadi bualan hangat orang ramai apabila menggunakan polisi untuk “Melayu sahaja”.
Polisi kedai kesihatan itu mula menjadi viral apabila seorang pelanggan berumur 48 tahun mengadu tidak dibenarkan masuk ke kedai itu kerana dia bukanlah berbangsa Melayu.
Pelanggan itu kecewa dengan layanan berbentuk diskrimasi yang diberikan kepadanya dan mengugut untuk melaporkan perkara itu kepada pejabat Menteri Besar Johor. Kakitangan kedai itu dengan beraninya membalas, “Melayu ada kedai Melayu, Cina pun ada kedai Cina”.
Apabila para wartawan mengunjungi kedai itu, mereka menemui 2 notis dalam bahasa Melayu dan Cina ditampal di luar pintu kedai.
Notis dalam bahasa Melayu itu tertulis, “Adalah dimaklumkan bahawa kami hanya akan menggunakan Bahasa Melayu untuk semua aktiviti promosi. Hanya rakyat Malaysia berbangsa Melayu sahaja dibenarkan masuk. Kami minta maaf di atas segala kesulitan”.
Manakala notis bahasa Cina di bawahnya pula tertulis “Pelanggan Cina diminta untuk pergi ke lokasi cawangan yang menerima pelanggan Cina”.
Dilaporkan, syarikat tersebut sudah menembusi pasaran Cina sejak 25 tahun yang lalu dan kini sedang mengembangkan perniagaan mereka kepada pelanggan Melayu dan India sahaja sejak setahun yang lalu.
Justeru, tidak timbul isu diskriminasi kaum daripada syarikatnya kerana mereka mempunyai banyak cawangan bukan sahaja di Johor tetapi di negeri-negeri lain khusus untuk pelanggan Cina.
Pengurus kedai kesihatan itu mengaku berasa risau apabila mahu membuka kedai berkonsepkan “Muslim atau Melayu sahaja” kerana bimbang tindakan akan diambil ke atasnya. Walaubagaimanapun, dia menegaskan itu hanyalah strategi pemasaran syarikatnya dan tidak sama sekali berniat untuk meminggirkan kaum Cina.
Isu mengenai polisi kedai berkonsepkan kaum ini mula menjadi hangat terutamanya di Johor sejak kebelakangan ini. Jika anda masih ingat, Sultan Johor pernah mengarahkan sebuah kedai dobi untuk ditutup kerana menawarkan servis untuk Muslim sahaja. Jika pemilik dobi itu tidak mahu mengubah polisi itu, dia diminta untuk meninggalkan Johor.
Jadi, apa pula respon Kerajaan Johor berhubung isu terbaru ini ? Kita tunggu dan lihat.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi mengenai isu ini, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.