Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan lima persatuan dalam usaha untuk menarik lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menggunakan e-dagang.
Lima persatuan itu ialah Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia, Persatuan Pemborong Malaysia, Dewan Perniagaan Digital Malaysia, Persatuan Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia dan Persatuan PKS Malaysia.
MoU itu bakal menyaksikan PIKOM membantu ahli dari lima persatuan ini untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat anggota teknologi PIKOM seperti pembekal gerbang pembayaran, penyedia logistik dan pembekal platform e-dagang.
“Menerusi kaedah ini, PIKOM berperanan sebagai platform untuk menghubungkan PKS tempatan kepada lebih 100 ahli pemboleh teknologi kami menerusi Pameran e-Dagang PIKOM yang baharu,” kata Pengerusi PIKOM yang juga Pengerusi E-Dagang Malaysia, Ganesh Kumar Bangah dalam satu kenyataan, hari ini.
Pameran bulanan e-Dagang PIKOM dijangka bermula pada separuh pertama tahun ini.
Pemeteraian lima MoU itu juga akan membantu menjana permintaan pengguna tempatan dan asing yang lebih besar untuk ahli saudagar e-dagang persatuan menerusi festival jualan secara dalam talian tahunan, #MYCYBERSALE.
Setakat ini, PIKOM berharap dapat melihat lebih ramai peniaga menyertai #MYCYBERSALE 2018 yang dijadualkan pada 3 hingga 7 September 2018.
Tahun lalu, nilai dagangan kasar #MYCYBERSALE 2017 melonjak 47.4 peratus kepada RM311 juta berbanding 2016 RM211 juta.
Jualan kepada pembeli antarabangsa melonjak 254 peratus kepada RM39 juta pada 2017 daripada RM11 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi mengenai isu ini, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk iklan atau artikel anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com
Sumber: BERNAMA