Peluang terbaik bakal diperoleh oleh pasukan tempatan iaitu JDT apabila diberi kesempatan menguji pasukan dari Eropah, Ukraine dalam satu aksi persahabatan kelas A.
Perkembangan ini diumumkan menerusi laman sosial JOHOR Southern Tigers susulan pertemuan antara Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan Olexander Nechytaylo yang merupakan Duta negara tersebut.
Pertemuan antara Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Olexander Nechytaylo itu dilakukan bagi membincangkan tentang jalinan kerjasama hubungan antara kedua-dua negara melalui bola sepak.
Selain itu, perkara yang turut dibincangkan adalah mengadakan perlawanan persahabatan kelas A antara pasukan JDT dan Ukraine. Pasukan bola sepak Ukraine kini berada di bawah bimbingan legenda bola sepak negara itu, Andriy Shevchenko.
Perlawanan persahabatan ini merupakan pendedahan kepada kelab yang digelar ‘The Southern Tigers‘ itu kerana pasukan Ukraine sememangnya terkenal dengan kekuatan fizikal dan gaya permainan yang pantas.
Ukraine kini menghuni tangga ke-35 dunia dan pernah layak ke saingan Piala Dunia pada tahun 2006 namun hanya berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir sekali gus merupakan pencapaian terbaik mereka pada kejohanan terbesar dunia itu.
Pasukan yang terkenal dengan jolokan ‘Kuning Biru’ itu turut beraksi dalam dua edisi Kejohanan Eropah iaitu pada 2012 dan 2016 namun sekadar menamatkan saingan di peringkat kumpulan.
Antara beberapa pemain ternama Ukraine yang sedang menempa nama dalam dunia bola sepak termasuklah Andriy Yarmolenko yang beraksi bersama Borussia Dortmund, pemain sayap Schalke 04, Yevhen Konoplyanka dan juga penjaga gol Shakhtar Donetsk, Andriy Pyatov.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi mengenai isu ini, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk iklan atau artikel anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com