Pemantauan APM sebagai langkah mempertingkatkan lagi tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah, seramai 400 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dihantar bertugas bagi membantu pihak ESSCOM pada bulan Mac ini.
APM yang dihantar ke kawasan Pantai Timur Sabah bersiap sedia untuk menjadi mata dan telinga bagi mengumpul dan menyalurkan maklumat secara terus jika terdapat tanda-tanda pergerakan dan aktiviti mencurigakan sepanjang tempoh bertugas, kata Ketua Pesuruhjaya APM, Mejar Jenaral (B) Datuk Azmy Yahya.
“Kawasan tersebut sudahpun menempatkan tentera, polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), namun tidak dilupakan pemantauan APM turut diperlukan supaya berada di sana bagi membantu meningkatkan kawalan keselamatan.
“Anggota terpilih sedia untuk ditempatkan, sekali gus membuat persiapan dengan memulakan latihan dan pemantauan di sana,” ujar beliau ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Ops Bantu XVI, hari ini kepada Berita Harian.
Tambahan lagi, seawal khamis ini APM juga akan ditugaskan dalam Ops Bantu sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina, seramai 1,746 anggota yang akan terlibat pada ketika itu.
Anggota terlibat juga akan di tempatkan di 114 laluan persekutuan dan negeri yang dikenal pasti sebagai kawasan panas dan perlu berjaga-jaga. Malah, bukan sekadar menjalankan tugas rondaan tetapi juga mereka turut berperanan sebagai pasukan respons kecemasan (ERT) bagi menyelesaikan kes berlaku dengan lebih pantas.
“Sekiranya pengguna mempunyai masalah serta halangan kami akan membantu bagi melancarkan lagi perjalanan kerana ia juga boleh mengundang kepada kemalangan jalan raya,” katanya lagi.
Pihaknya turut berperanan untuk mengurangkan statistik kemalangan jalan raya walaupun sebelum ini secara purata dilihat 6,000 kematian sepanjang tempoh sepuluh tahun lalu.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi mengenai isu ini, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk iklan atau artikel anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com
sumber : BH