“Hmmm Roy, aku nak tanya kau sikit boleh? ”
“Haha tanya jelah, Hanna”
“Aku tengok kau ni cepat betul dapat tangkap apa yang kau baca. Cemane kau buat eh sebenarnya?”
“Oh, aku pun sama cam kau jugak, cepat lupa. Tapi aku selalu guna teknik ni. Serius weh teknik ni memang sangat membantu kalau aku nak cepat tangkap apa yang aku baca”
“Wah. Share lah sikit”
Soalan begini sering ditanyakan kepada saya oleh rakan-rakan. Mereka menghadapi masalah untuk mengingat apa yang mereka baca, terutamanya dalam jangka masa yang singkat.
Kadangkala, kita baca sesuatu tapi lima minit selepas itu kita harus membelek kembali muka surat tersebut kerana sudah lupa. Akan tetapi, kita boleh meningkatkan daya ingatan kita melalui beberapa teknik yang saya sering amalkan ini.
Proses ini boleh dibahagikan kepada 4 teknik mudah;
1. Jangan Cuba Menghafal Ketika Membaca
Sebaliknya, gunakan highlighter / pen berwarna dan gariskan kata kunci yang penting dalam sesebuah maklumat. Penggunaan warna yang kontra akan lebih menarik mata dan minda anda untuk lebih fokus kepada sesuatu perkataan itu. Maka, lagi mudah untuk minda anda kekalkan informasi yang dibaca.
“Bagi saya, itu adalah normal kerana manusia bukannya robot. Sudah tentu sangatlah sukar untuk kita mengingat 100% apa yang kita baca.”
Alternatifnya, anda juga boleh mencatatkan sedikit nota mengenai apa yang anda baca di sebuah kertas kecil ataupun pada bahagian penjuru buku. Pilih yang mana anda selesa. Apa-apapun, jangan cuba menekan otak anda untuk menghafal ketika sedang membaca.
2. Gunakan Teknik ‘Mind Palace’
Teknik Mind Palace adalah satu teknik di mana membayangkan sesuatu maklumat dengan mewakilkannya dengan objek yang anda ingini. Sebagai contoh, anda sedang berada di dalam sebuah rumah dan anda ingin menggunakan ruang-ruang dalam rumah anda sebagai wakilnya. Letakkan nombor daripada 1 hingga 5 untuk setiap laluan;
Contoh: Proses Kejadian Hujan
- Pintu Utama – Proses penguapan akibat sinar matahari
- Ruang Tamu – Hasil penguapan air berubah menjadi awan
iii. Meja Makan – Awan membesar dengan bantuan angin
- Dapur – Turunnya air hujan
- Sinki – Air hujan terserap ke dalam tanah dan kembali ke laut
Perhatikan bagaimana nama-nama ruang yang digunakan adalah sangat berkait dengan laluan masuk ke bahagian hujung rumah. Ini lebih mudah sekiranya anda ingin mengingati proses-proses tertentu.
“Walaubagaimanapun, semua kaedah adalah cadangan dan terpulang kepada kreativiti anda sekiranya anda rasa lebih selesa dengan kaedah lain”.
Bermula daripada pintu masuk, perjalanan proses tamat di bahagian sinki yang selalunya terdapat di ruang paling hujung.
3. Wujudkan Gambar Bagi Maklumat Yang Ingin Diingati
Sebagai contoh, sekiranya anda mahu mengingati sejarah dan biografi Abraham Lincoln, wujudkan beberapa gambar yang berkaitan yang akan dapat membantu anda.
Anda boleh gunakan imej ayam Kentucky Fried Chicken (KFC) kerana Abraham Lincoln berasal dari Kentucky, Amerika Syarikat. Beliau merupakan presiden Amerika yang ke-16, jadi mungkin anda boleh gunakan imej kereta kerana anda mendapat lesen memandu kereta ketika anda berusia 16 tahun, misalnya.
Ini terpulang kepada kreativiti anda bagaimana anda mahu memilih gambar-gambar yang sesuai untuk dikaitkan dengan kata kunci dalam sesebuah infomasi.
4. Ringkaskan Isi Penting Dalam Setiap Bab
Simplify kan isi-isi penting dalam setiap bab kepada bentuk point. Kemudian, kaitkan point-point tersebut dengan perkara yang dekat dengan anda.
Sebagai cadangan, gunakan bilik-bilik dalam rumah sebagai medium. Misalnya, anda ada 10 point, maka bahagikan 5 point ke bilik pertama dan 5 point selebihnya ke bilik kedua. Ini akan membuatkan anda mudah untuk mengingat point-point anda.
“Apa-apapun, jangan cuba menekan otak anda untuk menghafal ketika sedang membaca.”
Secara spesifik, apabila anda masuk ke dalam bilik pertama, secara automatiknya anda akan terus terbayang 5 point yang dikaitkan dengan bilik tersebut dan begitu juga dengan bilik seterusnya.
Jika anda ingin melibatkan lebih daripada 10 point, maka terpulang kepada anda bagaimana untuk menyusun point-point yang ada berdasarkan bilik-bilik yang terdapat dalam rumah anda itu.
Ini lah teknik-teknik yang sering saya gunakan. Pada mulanya, mungkin anda akan rasa sedikit kekok namun lama-kelamaan ianya akan menjadi mudah.
Walaubagaimanapun, semua kaedah adalah cadangan dan terpulang kepada kreativiti anda sekiranya anda rasa lebih selesa dengan kaedah lain. Akhir kata, jangan jadikan pembacaan anda hanyalah sia-sia.