Arkitek Jalanan merupakan kesinambungan daripada buku PelukisJalanan yang mengisahkan liku-liku hidup seorang insan bernama Teme yang melanjutkan pelajarannya dalam bidang Architecture di United Kingdom tanpa biasiswa.
Umum mengetahui bahawa buku Pelukis Jalanan sebelum ini telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan tidak kiralah daripada kalangan ulat buku mahupun tidak. Ini telah mendorong penulis, Teme Abdullah untuk menerbitkan buku keduanya.
Bagi anda yang belum membaca Pelukis Jalanan, anda boleh klik di sini untuk mendapatkan review.
“Kau dah tumbuh sayap dah pun. Tapi kau takut nak terjun dan terbang. Kau perlukan tolakan keyakinan oleh seseorang”
Jika Pelukis Jalanan sebelum ini lebih memfokuskan kepada kesusahan Teme mencari sumber pendapatan untuk menampung biaya pengajiannya di kota London, Arkitek Jalanan pula lebih menceritakan kisah suka duka Teme bersama rakan karibnya, Ahmad dalam menempuhi hidup sebagai pelajar tahun akhir sebelum bergelar graduan.
Di dalam Pelukis Jalanan, Ahmad hanyalah digambarkan sebagai watak sampingan sahaja. Namun kali ini watak Ahmad lebih besar, boleh dikatakan Ahmad dan Teme adalah dua watak utama.
Persahabatan mereka sungguh indah kerana kedua-duanya saling membantu antara satu sama lain. Tatkala Teme seakan-akan mahu berputus asa dengan peritnya kehidupan, Ahmad sentiasa ada sisi untuk memberikan kata-kata semangat dan begitu juga sebaliknya.
Dek kerana persahabatan yang teguh itu, mereka berdua berjaya mengharungi susah senang bersama.
Buku ini turut menceritakan keinginan Teme untuk menulis buku pertamanya itu. Sebelum bukunya menjadi best seller, manuskrip yang disiapkan Teme sebenarnya pernah dicampak dalam tong sampah kerana beliau sudah berputus asa dengan kehidupannya waktu itu.
Mujurlah ada Ahmad yang kembali menaikkan semangat Teme. Keindahan persahabatan mereka pasti membuat kan anda terharu dan menitiskan air mata.
Secara terperincinya, Arkitek Jalanan banyak memberikan inspirasi kepada kita semua tidak kira lah baik yang tua ataupun yang muda. Biarpun jalan penceritaan agak santai, namun sarat dengan nilai motivasi yang boleh diamalkan dalam kehidupan.
“Inilah perangai orang kita, Kalau orang tak buat, kita tak ikut. Suka ikut orang, tak pernah fikir untuk jadi berani dan buktikan kita boleh. Tidurlah, teruskan bermimpi.”
Penulis juga sedikit sebanyak membidas dan memberi kritikan sosial menerusi mesej yang ingin disampaikan dalam buku ini. Ini boleh dilihat apabila Teme membicarakan mengenai penulis muda dan juga sindrom penunggang agama yang membelenggu masyarakat di negara ketika khususnya.
Yang paling membuatkan buku ini ‘impressive’ adalah kejayaan penulis menyandarkan semua perkara yang berlaku ke atas umat manusia kepada landasan Islam. Sesungguhnya manusia mempunyai perancangan, akan tetapi perancangan Allah itu adalah lebih baik.
Justeru, tidak hairanlah sekiranya buku ini merupakan salah satu di antara buku best-sellers di mana-mana pesta buku kerana karya Teme ini ternyata lain daripada yang lain.
“Teruskan angan-angan. Dan orang yang mengambil keputusan untuk tidak hanya bermimpi akan bangun kejar, mimpi itu. Sedangkan kau masih tidur.”
Dapatkan Buku Arkitek Jalanan Ini Dengan Harga Instimewa hanya di Daulah Online Bookstore. Stok adalah terhad, jadi dapatkannya sebelum terlambat!