Farah Ann Abdul Hadi sekali lagi mengharumkan nama Malaysia setelah beliau dan pasukan gimnastik wanita negara berjaya merangkul emas pada Isnin lalu dengan mengatasi Singapura dan Indonesia dengan catatan markah 200.950 di Sukan SEA KL 2017.
Merupakan salah seorang gimnas terbaik negara, Farah dijangka mampu mengulangi kejayaan emas pada Sukan SEA 2015 yang lalu apabila beliau akan bertanding bagi acara senaman lantai pada hari ini.
Di dalam kesemarakan mengejar emas untuk negara, laman Instagram atlet gimnas berbakat itu (@farahann94) dilaporkan digodam oleh penggodam yang tidak diketahui.
Isu penggodaman ini mula hangat menyerang laman sesawang di Malaysia setelah berlaku pertelingkahan di antara Malaysia dan Indonesia berhubung isu percetakan bendera terbalik pada upacara perasmian Sukan SEA KL baru-baru ini.
Percubaan penggodaman terbaru ini bukanlah yang pertama pada minggu ini berikutan berita penggodam yang berpusat di Indonesia yang cuba mensasarkan laman web Malaysia. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amiruddin Abdul Wahab mengesahkan bahawa setakat waktu 3.40 petang 21 Ogos, sekurang-kurangnya 33 laman web telah terjejas.
CyberSecurity Malaysia telah menerima banyak aduan mengenai kes penggodaman ke atas laman web Malaysia dimana maklumat sulit didedahkan dan kemungkinan serangan DDOS.
Amaran juga telah dikeluarkan oleh CyberSecurity Malaysia kepada pentadbir-pentadbir sistem di Malaysia. Mereka dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi menangkis segala ancaman siber di samping melaporkan ancaman-ancaman terbaru yang berlaku.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan peringatan terbaru berhubung isu penggodaman ini di sini, serta memfailkan laporan mereka mengenai ancaman siber kepada cyber999@cybersecurit.my atau mycert@mycert.org.my.
Menurut laporan AFP, jurucakap Polis Kebangsaan Indonesia Martinus Sitompul menyatakan dakwaan bahawa kumpulan penggodam yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘ExtremeCrew’ itu adalah dari Indonesia masih tidak dapat dipastikan.
“Sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan, kami bersedia untuk memberikan segala kerjasama“, katanya kepada AFP.
Beli buku idaman anda dengan harga serendah RM3 hanya di Daulah Online Bookstore
Sumber : Malaysian Digest