Pemegang rekod lelaki terpantas di dunia, Usain Bolt umum persaraannya setelah tamat acara 100m Kejuaraan Dunia yang berlangsung di London baru-baru ini.
Pada acara 100m pecut akhir itu, Bolt sekadar meraih pingat gangsa dengan 9.95 saat. Pingat perak dimenangi oleh Christian Coleman dengan 9.94 saat manakala emas pula dimenangi oleh Justin Gatlin yang mempunyai catatan masa 9.92 saat.
Walaubagaimanapun, seluruh tumpuan dunia pastinya terarah kepada pelari Jamaica itu yang telahpun mengumumkan beberapa hari sebelum ini bahawa kejuaraan di London itu adalah yang terakhir buatnya.
Tidak dapat dinafikan lagi, pelari yang berusia 30 tahun itu merupakan ikon kepada acara pecut. Sepanjang kariernya, Bolt adalah atlet pertama yang telah memenangi 3 pingat emas di sukan Olimpik bagi acara 100m.
Beliau juga adalah pemegang rekod dunia bagi Raja Pecut dalam acara 100m dan 200m. Di samping itu, Bolt telah memenangi 23 pingat emas dalam kejuaraan-kejuaraan besar yang disertainya.
Sudah tentunya nama Usain Bolt ini tidak akan lupus dari dunia trek. Pasti ramai di antara kita yang akan melihat kembali ulang tayang acara akhir 100m sukan Olimpik Beijing 2008 di mana Bolt memperkenalkan dirinya kepada dunia dengan memecahkan rekod melalui catatan masa 9.69.
Pada tahun berikutnya, Bolt sekali lagi memperbaharui rekod dunia dengan masa 9.58 saat yang masih kekal menjadi rekod dunia hingga sekarang.
Kelibat Bolt di acara trek pasti akan dirindui. Bukan sahaja lariannya, malah gaya beliau meraikan kejuaraan yang dimenanginya akan sentiasa dalam ingatan para peminat.
Tidak dapat dipastikan lagi sama ada Bolt akan keluar dari persaraannya pada masa yang akan datang. Apa-apapun, semoga Bolt akan terus memberi inspirasi kepada atlet-atlet di luar sana.
Dunia trek tidak akan sama lagi tanpa Usain Bolt.
Sumber : Sports Illustrated
The Daily Mail
The Guardian