JAKIM Hanya Mahu Cari Jalan Penyelesaian
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengesahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) masih menunggu kebenaran pihak Istana Johor untuk menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim.

Walaupun sudah sebulan berlalu, JAKIM masih belum dapat menghadap Sultan Johor walaupun Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha dan Jamil Khir telah menyatakan hasrat untuk bertemu Sultan Johor.
Kebenaran itu diperlukan JAKIM untuk mengadakan pertemuan dengan Sultan Ibrahim bagi membincangkan hal berkaitan isu pegawai kader JAKIM di Penjara Kajang, Dr. Zamihan Mat Zain.

Selain itu, pertemuan itu juga diadakan untuk menyelesaikan sebarang kemelut yang timbul antara Istana Johor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia itu gara-gara ceramah kontroversi Dr. Zamihan.
Pada bulan Oktober yang lalu, Dr. Zamihan yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) jelas mengkritik Sultan Ibrahim berikutan arahan penutupan kedai dobi layan diri ‘Muslim Sahaja’ dalam satu ceramahnya di Shah Alam.

Sehubungan dengan itu, Sultan Ibrahim telah menitahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) agar tidak membuang masa berurusan dengan JAKIM berhubung isu tersebut.

Bukan itu sahaja, Sultan Johor turut tidak mahu JAKIM memberi sebarang pandangan kepada negeri Johor.
Baginda menyifatkan Dr. Zamihan sebagai ‘tin kosong’ yang angkuh dan tidak menghormati keharmonian kaum pelbagai agama di negara ini.

Walaubagaimanapun, Sultan Ibrahim sudahpun memaafkan beliau dan tidak mahu isu tersebut berpanjangan.
Selain Sultan Johor, Sultan Selangor iaitu Sultan Sharafuddin Idris Shah turut mengarahkan MAIS menarik balik pentauliahan kepada Dr. Zamihan, susulan kontroversi ceramahnya di Shah Alam itu, yang mengandungi perkataan bersifat rasis, kurang beradab dan kritikan melampau terhadap institusi diraja.

Apa-apapun, semoga kontroversi ini tidak dibiarkan berpanjangan dan dapat diselesaikan dengan segera.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi mengenai isu ini, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.