Kesan Kenaikan Cuti Bersalin Terhadap Majikan ?
Majikan-majikan di negara ini perlu menanggung kos tambahan sebanyak RM20 bilion jika cuti bersalin untuk pekerja wanita sektor swasta dipanjangkan daripada 60 hari kepada 90 hari.
Isu ini menjadi bualan hangat apabila Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak mengumumkan kenaikan cuti bersalin mandatori daripada 60 hari kepada 90 hari di dalam pembentangan Bajet 2018 yang lalu.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, dengan anggaran 3.4 juta pekerja wanita dalam sektor swasta dan 250,000 daripadanya bersalin setiap tahun, maka kos pemanjangan cuti tersebut akan menelan belanja yang sangat besar.
Dilaporkan, kos langsung cuti bersalin sahaja mencecah RM1 bilion manakala usaha mencari pengganti untuk wanita yang sedang bercuti pula melibatkan kos tambahan sebanyak RM1 bilion.
Justeru, cadangan Bajet 2018 supaya cuti itu dipanjangkan kepada 90 hari di sektor swasta hanya boleh dilaksanakan dengan pindaan undang-undang.
Pelaksanaan tambahan cuti bersalin, kata Shamsuddin, juga perlu mempertimbangkan syarat permohonan cuti tersebut.
Seperti di sektor awam misalnya, walaupun cuti bersalin penjawat awam dipanjangkan daripada 300 kepada 360 hari, tetapi maksimum 90 hari setahun telah ditetapkan dan penjawat berkenaan tidak boleh memohon cuti yang sama (90 hari) semasa kelahiran anak kelima.
Berbanding penjawat awam, pekerja wanita di sektor swasta sebenarnya boleh memohon cuti bersalin yang mencecah 420 hari.
Jelasnya, pekerja sektor swasta boleh memohon cuti bersalin sehingga 300 hari untuk persalinan sehingga kali kelima, tetapi mereka boleh memohon cuti untuk persalinan keenam dan ketujuh jika dua cahaya mata mereka meninggal dunia.
Ramai beranggapan bahawa sektor swasta menawarkan cuti yang sedikit kepada ibu bersalin berbanding sektor awam. Namun, ia sebenarnya adalah bergantung kepada keadaan.
Teruskan layari Deenamik.com dan like FB page Deenamik untuk dapatkan info-info terkini serta isu-isu viral dari dalam dan luar negara.