Nak Kerja Di Frontdesk Hotel Tak Boleh Bertudung
Baru-baru ini, kecoh apabila Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam yang bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk).
Kekecohan itu timbul apabila ada kakitangan hotel yang mengadu mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarahkan menanggalkan tudung mereka.

MAH mempertahankan tindakan itu dengan mendakwa bahawa itu adalah standard prosedur dan polisi hotel yang sudah lama digunakan. Malah hotel di negara-negara lain juga melakukan perkara yang sama terhadap wanita bertudung.
Tindakan mereka itu sememangnya mengundang pelbagai reaksi ‘panas’ daripada banyak pihak, tambahan pula majoriti rakyat negara ini adalah beragama Islam.
Justeru, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa supaya masyarakat beragama Islam di negara ini supaya menyenarai hitamkan nama hotel-hotel yang tidak tahu menghormati hak umat Islam dan kemudian diviralkan.

“Ini supaya semua saudara Islam tahu dan selepas ini jangan lagi pergi ke hotel yang jelas membenci umat Islam” ujar Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.
Tegasnya, sudah tiba masa untuk pengguna Islam menyedari kuasa yang ada pada mereka dan bangkit menghapuskan isu-isu diskriminasi sebegini.

“Sebaliknya, biarkan pengusaha hotel itu pula yang berasa tertekan akibat dari perbuatan biadab mereka sendiri”, tambah Nadzim.
Dari sudut undang-undang, larangan terhadap wanita memakai tudung bekerja di hotel sememangnya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia.
“Kalau mereka tidak ikut undang-undang yang ditetapkan, pengguna pun janganlah ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’, cari sahajalah hotel yang lain. Mengapa penguat kuasa tidak boleh bertegas?” soal beliau.
Pekerja yang dinafikan hak untuk mengamalkan ajaran Islam atas alasan prosedur dan polisi hotel juga digesa supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa ke atas majikan tidak bertanggungjawab itu.

Berkemungkinan besar, majlis-majlis bufet kerajaan akan bersepakat untuk memboikot dan tidak mengadakan lagi majlis di hotel-hotel yang tidak tahu menghormati Islam sebagai agama Persekutuan pada masa akan datang.

Syabas kepada PPIM kerana lantang bersuara membela nasib pengguna beragama Islam di negara ini daripada ditindas.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi mengenai isu ini, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.