Ramai individu dalam kalangan kita sering mengalami masalah kewangan atau poket kering pada hujung bulan. Kalau buka wallet pun duit sudah habis, simpanan pun habis, jadi apa yang perlu dilakukan? Terpaksalah mengikat perut sementara tunggu gaji masuk. Tapi sampai bila?
Walaupun anda mempunyai paras gaji tinggi pada setiap bulan, tetapi jika tidak diuruskan dengan bijak pastinya anda sering mengalami masalah kewangan. Lebih membimbangkan lagi apabila anda mengalami situasi-situasi kecemasan yang sukar dijangkakan berlaku.
Oleh itu, seorang yang bijak menguruskan kewangan anda perlu mengetahui ke mana aliran wang itu pergi. Wang untuk simpanan, wang perbelanjaan keperluan dan sebagainya. Amalan menyimpan wang juga anda perlu lakukan, pepatah ada mengatakan ‘sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit.’
Disini terdapat beberapa amalan yang boleh anda lakukan, dan dengan cara ini juga ia akan membantu anda menyimpan duit dengan lebih berkesan.
#1. Membuat Pemindahan Secara Automatik Ke Akaun Simpanan Peribadi
Langkah ini merupakan yang paling mudah untuk anda menyimpan duit. Pada setiap bulan anda akan menerima gaji kan? Mesti gembira sebab duit masuk dan boleh berbelanja selagi mana duit mencukupi. Tapi, pernah tak menetapkan akaun bank anda untuk memindahkan sejumlah wang ke akaun simpanan anda?
Sebagai contoh, anda ingin membeli sebuah telefon pintar baharu berharga RM1,500 dalam tempoh lima bulan. Anda boleh terus menetapkan wang sebanyak RM300 ke dalam akaun pada setiap bulan. Cukup lima bulan anda akan dapat membeli telefon pintar idaman anda itu.
#2. Rancang Pembelian
Tidak dinafikan, setiap individu seringkali membeli barangan di kedai-kedai runcit berdekatan mengikut gerak hati. Peliknya, beli mengikut selera tanpa membuat rancangan iaitu senarai barangan yang diperlukan. Tiada siapa yang menghalang anda untuk membeli barangan ataupun makanan, tetapi jika tidak menyediakan senarai barang keperluan pasti aliran duit itu tidak akan berhenti dan menyebabkan anda cepat kehabisan duit.
Cara terbaik yang perlu anda lakukan adalah sediakan senarai barang diperlukan sebagai rancangan pembelian anda. Melalui kaedah ini, anda akan lebih memfokuskan barangan keperluan terlebih dahulu, seterusnya mengelak anda daripada membeli barangan kehendak.
#3. Simpan Duit Mengikut Kategori
Hidup setiap insan di muka bumi diselubungi dengan pelbagai urusan duniawi yang tidak pernah putus. Oleh itu, cuba kenalpasti perkara-perkara penting yang dikategorikan sebagai focus utama dan cuba belanjakan wang mengikut kategori tersebut. Bagi perkara bukan kepentingan, cuba cari alternatif lain yang membolehkan anda berjimat serta mengurangkan lagi kos pengeluaran duit tersebut.
Sebagai contoh, jika teringin untuk makan nasi lemak sambal petai ikan bilis cuba dapatkan di gerai-gerai tepi jalan yang harganya jauh lebih murah berbanding di restoran. Langkah ini akan membantu anda menjimat perbelanjaan harian, malah lebih baik lagi jika anda berupaya menyediakan nasi lemak tersebut dengan tanga sendiri.
#4. Bayar Diri Sendiri Dahulu
Untuk memastikan diri anda tidak berbelanja secara keterlaluan atau melebihi kemampuan, buat rangkaan bajet. Tetapi sekiranya anda mahu simpanan meningkat dengan cepat, bayar diri anda terlebih dahulu. Macam tak faham kan? Okay, ini bermaksud gaji bulanan anda itu simpan terlebih dahulu di dalam akaun, dan gunakan baki yang ada.
Langkah ini boleh dilakukan dengan menetapkan gaji anda di akaun bank secara automatik seperti yang diterangkan pada cadangan pertama di atas.
#5. Tidak Menggunakan Wang Simpanan
Setiap individu perlu mempunyai motivasi tersendiri sebagai benteng kekuatan diri. Jangan mudah terpedaya dengan barangan cantik dan mewah yang ada disekeliling anda. Hal ini kerana untuk memastikan objektif simpanan wang itu tercapai walaupun memerlukan pengorbanan seketika.
Sekiranya berdepan situasi yang memerlukan wang cuba gunakan wang yang bukan dalam misi simpanan, tapi jangan sampai keterlaluan. Jika sudah tidak mempunyai jalan lain anda boleh menggunakannya tetapi buat gantian semula.
#6. Gaji Bonus Sila Simpan
Ramai di luar sana apabila mendapat gaji bonus terus berbelanja sakan sehingga bonus itu habis. Lebih menyedihkan lagi ramai yang tidak membuat perancangan sebelum berbelanja. Saying sekali jika anda berbelanja seperti ini, walaupun setahun berkerja keras, malah ada yang membuat kerja sambilan untuk capai target mendapat rezeki lebih.
Sememangnya ini boleh dilakukan tetapi adalah lebih baik sekiranya anda menyimpan sebahagian wang ini bagi memudahkan anda di masa hadapan.
#7. Menabung Baki Duit Syiling
Duit syiling nampak sedikit, tetapi bila dikumpul dari hari ke hari tanpa sedar anda akan memperolehi jumlah yang sangat banyak. Buatlah seperti zaman kanak-kanak dahulu, mak ayah bagi duit RM0.50 sen, RM0.20 sen tersebut disimpan dalam tabung. Tanpa anda sedari, simpanan duit syiling anda ini sebenarnya sering bertambah dan merupakan amaun yang banyak setiap kali anda mengosongkan tabung (buat pengiraan).
#8. Semakan Simpanan Anda
Ambil sedikit masa pada setiap bulan untuk melihat perkembangan simpanan wang anda. Langkah ini sebenarnya memberikan anda sokongan untuk terus menyimpan wang untuk masa hadapan.
Untuk tidak terlepas sebarang tips-tips kesihatan yang bermanfaat, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk iklan anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com