Kepentingan Social Skills
Kemahiran sosial ataupun social skills adalah salah satu cabang soft skills yang anda sangat-sangat perlukan untuk berjaya di dalam karier anda. Tanpa kemahiran sosial yang baik, anda akan sentiasa mempunyai masalah di tempat kerja, contohnya sering dipinggirkan oleh rakan sepejabat. Lebih teruk lagi, anda berkemungkinan akan dipecat oleh bos.
Apa-apapun, anda tidak perlu khuatir kerana social skills ini sebenarnya boleh dipelajari dan diasah dari semasa ke semasa. Jadi, mulakanlah praktikkan kemahiran-kemahiran di bawah dalam rutin harian agar anda beroleh kejayaan di dalam kerjaya dan juga kehidupan.
#1. Empati
Kebolehan untuk mendalami situasi yang dialami seseorang adalah satu kemahiran yang penting di dalam kehidupan masa kini. Dengan memahami dan meletakkan diri anda di dalam situasi mereka, anda akan dapat mencari jalan penyelesaian yang lebih baik kerana anda cukup faham apa yang harus dilakukan.
Jangan lupa, adalah sangat penting untuk melayan orang lain sebagaimana cara anda ingin dilayan. Mentaliti ini akan sentiasa menjadikan anda kekal positif.
#2. Mendengar
Jangan hanya mendengar. Sebaliknya, jadilah pendengar yang aktif. Pendengar yang aktif bermaksud memberikan sepenuh tumpuan ketika seseorang sedang bercakap. Pastikan anda sentiasa mengangguk tanda setuju dan bertanya soalan sekiranya tidak jelas dengan sesuatu.
Sekiranya diajukan soalan, elakkan menjawab dengan melulu tanpa berfikir terlebih dahulu. Apabila anda sudah terbiasa mendengar seperti ini, anda akan nampak kesan positifnya serta merta.
#3. Sentiasa Positif
Tegurlah rakan sekerja dengan senyuman setiap kali masuk ke pejabat. Anda akan terkejut dengan jumlah senyuman yang kembali diberikan kepada anda. Apabila anda positif, orang di sekeliling pun akan turut positif.
Ringan-ringankanlah mulut untuk ucapkan terima kasih. Jadilah insan yang beradab. Namun, jangan sampai orang mengambil kesempatan ke atas anda pula.
#4. Kerjasama
Semangat bekerja dalam pasukan adalah sangat mustahak di dalam sesebuah syarikat. Anda perlu boleh untuk bekerja di dalam kumpulan bagi mencapai satu tujuan yang diinginkan. Dengan cara itu, setiap orang akan tahu peranan yang perlu dimainkan.
Tanpa semangat kerjasama, suasana kerja akan menjadi huru-hara. Contohnya, apabila seseoang gagal melaksanakan tugas, individu lain pun akan mula menjadi negatif dan tidak bersemangat untuk meneruskan pekerjaan.
Jadi, pastikan anda sentiasa berganding bahu dengan rakan sekerja anda untuk mencapai sesuatu.
Diharapkan agar keempat-empat social skills ini akan dapat membantu anda menjadi seorang pekerja yang lebih berjaya di dalam karier anda.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk artikel atau iklan anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com