MRT Johor-Singapura
Setelah Malaysia digemparkan dengan berita pembatalan projek kereta api laju (HSR) yang menelan kos mencecah RM110 billion baru-baru ini, pihak kerajaan walaubagaimanapun mengumumkan projek mass rapid transport (MRT) yang menghubungkan Johor-Singapura akan diteruskan.
Projek MRT sejauh 4km itu bakal menghubungkan Bukit Chagar di Johor dan Woodlands di Singapura. Laluan MRT merentasi Selat Johor berkenaan mampu membawa 10,000 penumpang setiap jam sehala.
Sistem pengangkutan terbabit dijangka mula beroperasi setelah siap sepenuhnya pada 31 Disember 2024 nanti.
Masalah Kos
Namun, ada beberapa perkara yang akan dikaji semula iaitu terma & syarat, serta kos yang perlu dibelanjakan untuk projek itu. Ini kerana Kementerian Kewangan mahu menjimatkan kos sebanyak mungkin.
Pihak kerajaan sememangnya bertegas mahu mengkaji semula sebarang projek yang menelan belanja besar namun tidak memberi keuntungan kepada rakyat dan negara. Sebelum ini, projek HSR dan MRT Line 3 telah dibatalkan di atas sebab berkenaan.
Buat masa sekarang, kos projek tersebut masih belum diketahui kerana ianya bergantung kepada susunan rel kereta api akan dipersetujui oleh usaha sama (joint venture) antara Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corp Ltd Singapura. Kedua-dua badan itu juga akan memegang tempoh konsesi selama 30 tahun bersama-sama.
Panggilan untuk tender bagi projek itu dijangka diselesaikan tahun ini.
Desas-desus mengatakan Damansara Realty Sdn Bhd akan bergabung dengan syarikat China State Construction Engineering bagi membida tender yang ditawarkan.
Sekiranya diteruskan, semoga kemudahan yang bakal dibina nanti mampu mendatangkan kesenangan kepada rakyat di samping mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan kepada golongan muda khususnya.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.
Berminat untuk iklan atau artikel anda dipaparkan di laman Deenamik ? Hubungi kami di admin@deenamik.com