Swafoto adalah satu trend yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat, khususnya remaja. Ada antara mereka yang tidak begitu mengambil pusing akan keadaan sekeliling mereka bahkan kadangkala tanpa segan silu menggayakan pelbagai ekspresi muka, tidak kurang juga ekspresi yang agak menjengkelkan di khalayak ramai.
Demi mendapatkan ‘selfie’ yang sempurna dari hujung rambut hingga hujung kaki, mereka yang mempunyai obsesi terhadap swafoto sanggup melakukan apa sahaja asalkan kelihatan sempurna. Pelbagai persoalan yang berlegar-legar di minda apabila berbicara tentang tanda-tanda seseorang itu mempunyai obsesi terhadap swafoto. Adakah obsesi ini secara senyap mendatangkan kesan yang membimbangkan?
“Pakar Perunding Psikiatri dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid berkata, penyelidikan berkenaan perbuatan itu di negara ini tidak banyak dilakukan dan ia masih perlukan kajian ilmiah sebelum diklasifikasikan sebagai satu penyakit kerana dibimbangi rakyat di negara ini terjebak amalan itu secara berlebihan hingga boleh mendatangkan kemudaratan sama ada kepada kesan fizikal ataupun mental seseorang.”- Tahap obses swafoto makin membimbangkan, Anita Abu Hasan & Azihan Ghazali 25 Jun 2018
Melalui kajian yang dijalankan terhadap 225 responden di United Kingdom, lebih daripada 50 peratus responden menunjukkan tanda-tanda serta kecenderungan terhadap masalah selfitis behaviour scale (SBS). Gejala SBS terbahagi kepada 3 bahagian yang terdiri daripada selfitis borderline, selfitis akut dan selftis kronik.
- Selfitis borderline
Melibatkan si pelaku berswafoto sekurang-kurangnya tiga kali sehari tanpa memuat naik gambar swafoto di media sosial.
- Selfitis akut
Melibatkan si pelaku berswafoto sekurang-kurangnya tiga kali sehari serta memuat naik gambar swafoto di media sosial.
- Selfitis kronik
Melibatkan si pelaku berswafoto lebih enam kali sehari dan memuatnaik gambar swafoto di media sosial
Obses terhadap swafoto tidak berhenti setakat bergaya dihadapan kamera dan memuat naik gambar di laman sosial sahaja. Sesetengah individu bertindak luar batasan dengan berswafoto di kawasan cenuram, dan tak kurang juga yang berswafoto ketika sedang memandu!
Individu yang mempunyai ciri-ciri selfitis akut dan selfitis kronik cenderung mempunyai masalah mental seperti depresi dan kecelaruan mental. Kajian juga menunjukkan bahawa remaja lingkungan umur belasan tahun lebih berpotensi mengalami masalah obses terhadap swafoto dan secara perlahan-lahan akan beransur berkurangan seiring dengan pertambahan umur.
Antara punca kebanyakan individu menjadi obses terhadap swafoto adalah sikap narsisistik individu itu sendiri. Ada diantara mereka begitu gemar akan pujian dari orang sekeliling dan juga mengharapkan jumlah ‘like’ yang tinggi di media sosial.
Akhir kata, tidak salah untuk berswafoto bagi mengabadikan momen-momen manis untuk dijadikan kenang-kenangan. Tanamkan sifat beserdahana dan berpada-pada untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.