Keadilan Untuk Altantuya
Teka-teki mengenai siapakah dalang si sebalik pembunuhan Altantuya Shariibuu hampir pasti akan terjawab apabila siasatan ke atas kes berprofil tinggi melibatkan model Mongolia itu berkemungkinan dibuka semula.
Sebab utama kes itu bakal dibuka semula adalah kerana Peguam Negara telah menemui petunjuk baru berhubung kes berkenaan. Dijangkakan, petunjuk baru ini dapat membantu mengenalpasti individu sebenar yang mengarahkan supaya Altantuya dibunuh.
“Kita ada petunjuk baru, maksud saya ada cara pendekatan baru, bukti yang akan diambil perkiraan dalam siasatan lanjut,” kata Ramkarpal Singh.
Walaubagaimanapun, Ramkarpal tidak mahu mengulas lanjut mengenai penemuan baru yang dimaksudkannya, namun berkata ia adalah petunjuk baru dan lama.
Tambahnya lagi, siasatan terbaru ini akan menumpukan motif pembunuhan yang tidak dibangkitkan di mahkamah sebelum ini. Penjelasan itu dibuat setelah berbincang dengan Peguam Negara, Tommy Thomas dan bapa Altantuya, Setev Shaariibuu.
Kami yakin isu motif, dan hanya motif tentang siapa yang mengarahkan pembunuhan akan diteruskan dan disiasat lebih lanjut agar pihak yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka keadilan,” katanya.
Kes Altantuya ini sememangnya hangat diperkatakan meskipun sudah 12 tahun berlalu. Namun, dalang sebenar kes tersebut masih bebas. Hanya dua orang kambing hitam iaitu Sirul Azhar dan Azilah Hadri sahaja yang didapati bersalah.
Kedua-dua bekas komando polis itu didakwa atas pertuduhan membunuh Altantuya Shariibuu yang berusia 28 tahun antara pukul 10 malam hingga 1 pagi, di Lot 12843 dan Lot 16736, Mukim Bukit Raja, Klang pada 2006.
Pada malam itu, Altantuya telah dilarikan di dalam sebuah kereta dan dibunuh sebelum mayatnya dibom menggunakan C4 di sebuah hutan dekat kawasan berkenaan.
Mahkamah persekutuan selepas itu mengekalkan hukuman mati terhadap mereka pada 2015. Sirul bagaimanapun melarikan diri ke Australia sementara Azilah sedang menunggu untuk menerima hukuman.
Benarkah Najib & Razak Baginda Bersubahat ?
Ramai pihak percaya bahawa kes pembunuhan Altantuya ini ada kaitannya dengan Najib Razak, Rosmah Mansor dan Razak Baginda. Perselisihan faham dengan Altantuya timbul berhubung skandal komisyen dalam pembelian kapal selam Scorpene dari Perancis.
Najib Razak yang merupakan Menteri Pertahanan ketika itu, walaubagaimanapun menafikan terlibat dalam kes tersebut.
Razak Baginda yang didakwa bersubahat dengan mereka juga dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Semoga di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan, lebih banyak kes pembunuhan berprofil tinggi seperti ini akan dibuka semula dan dalangnya akan diheret ke muka pengadilan.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.