Selangor Dapat MB Baru
Teka-teki mengenai siapakah yang bakal menggalas tugas sebagai MB Selangor yang baru akhirnya terjawab apabila ADUN Sungai Tua, Amirudin Shari mendapat perkenan daripada Sultan Selangor untuk menjawat jawatan berkenaan.
Amirudin selesai mengangkat sumpah bagi memegang jawatan Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah yang berlangsung di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bermula kira-kira jam 9.45 pagi tadi.
Meskipun begitu, pelantikan Amirudin ini sebenarnya bukanlah suatu perkara yang mengejutkan. Memang ramai pihak sudah menjangkakan bahawa beliau adalah calon paling layak untuk menggantikan Azmin Ali, yang terpaksa melepaskan jawatan itu kerana menerima tugas selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang baru di bawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.
Amirudin Calon Berpengaruh
Antara sebab utama ADUN Sungai Tua itu dilantik adalah kerana beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bidang politik. Di samping itu, Sultan Sharafuddin dilihat lebih selesa bersama beliau berbanding calon-calon lain. Ini mungkin menjadi faktor utama di sebalik pelantikan beliau.
Berikut merupakan sedikit latar belakang Amirudin Shari :
1. Berusia 38 tahun
2. Menjadi ADUN pada usia 28 tahun (PRU 2008)
3. Graduan dari Universiti Putra Malaysia (UPM)
4. EXCO Selangor sejak 2014
5. Bekas Pengurus Selangor FA
Tambahan pula, nama Amirudin turut dicadangkan oleh Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dan disokong oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu menerusi satu surat cadangan kepada Sultan Selangor.
Anwar mengemukakan surat yang mencadangkan tiga nama itu selepas diminta berbuat demikian oleh Sultan Selangor ketika beliau datang menghadap baginda sebelum ini.
Tiga nama itu termasuklah Amirudin dan ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad yang sebelum ini dicadangkan oleh Wan Azizah dan disokong oleh ketiga-tiga pemimpin parti PH di Selangor.
Walaubagaimanapun, reputasi dan kredibiliti Idris Ahmad agak sedikit tercalar apabila beliau didakwa terlibat dengan skandal penipuan melibatkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Idris bagaimanapun menyifatkan dakwaan itu adalah satu cubaan untuk menjatuhkan maruahnya, yang bertujuan menghalang beliau dipilih sebagai Menteri Besar Selangor.
Buat masa sekarang, kesahihan dakwaan tersebut masih belum dapat dipastikan dan sedang berada dalam peringkat awal penyiasatan.
Selamat Tinggal Azmin Ali
Apa-apapun, diharapkan agar Amirudin akan dapat mentadbir negeri Selangor dengan penuh berwawasan dan komited dalam menjaga kebajikan rakyat di negeri itu, seperti yang dilakukan MB terdahulu, Azmin Ali.
Jadi, apakah harapan dan pembaharuan yang anda ingin MB baru ini lakukan di Selangor ? Kongsikan pendapat anda dalam ruangan komen di bawah.

Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.