Pulau Kapas merupakan antara pulau yang agak popular di Terengganu. Ada orang kata, pulau ini mendapat nama sebagai Pulau Kapas kerana pasirnya yang putih dan cantik persis kapas.
Ada juga yang menggelar pulau ini sebagai ‘Bali Malaysia’ kerana keindahannya yang seakan-akan berada di Bali. Jom lihat 5 benda yang anda wajib buat ketika berkunjung ke Pulau Kapas.
#1. Mandi manda dalam air laut yang jernih dan biru sambil dikelilingi dengan ikan
Kalau nak mandi sambil menikmati keindahan air laut yang biru, tenang, bersih dan jernih, anda digalakkan untuk pergi ke pulau ini.
Ramai juga pelancong luar negara mengatakan bahawa keindahan air laut pulau ini persis seperti air laut pulau yang popular di dunia.
Cuba bayangkan, anda juga boleh mandi sambil dikelilingi oleh sekumpulan ikan kecil yang agak jinak dan gemar timbul di kawasan pesisir pantai.
#2. Snorkeling
Disebabkan airnya yang jernih dan cetek, anda boleh membuat aktiviti snorkeling dengan sepuas-puasnya di pulau ini.
Terpulang pada anda, sama ada ingin snorkeling di kawasan pesisir pantai mahupun kawasan yang agak jauh sedikit. Kedua-duanya pasti memberikan anda pengalaman yang sangat berharga.
Anda bebas menikmati keindahan terumbu karang yang cantik dan berwarna-warni serta hidupan laut lain seperti ikan, belut laut, sotong, penyu dan sebagainya.
#3. Scuba diving
Bagi anda yang menggemari aktiviti mencabar dan berani, jom menyelam di dasar laut Pulau Kapas.
Apabila menyelam, anda dapat melihat peninggalan bot-bot karam di dasar laut.
Antara tempat menyelam yang paling popular adalah di kawasan kapal Perang Dunia Ke-2 yang karam. Bukan mudah taw nak dapat peluang sebegini.
#4. Hiking dan jungle trekking
Ada juga orang yang gemarkan aktiviti mencabar dan agak memenatkan di dalam hutan berbanding bermain dengan air laut.
Jangan risau, bagi anda yang tergolong dalam golongan ini, anda boleh melakukan aktiviti jungle trekking dan juga hiking di sekitar pulau ini.
Cuba pergi ke Batu Berakit ataupun Bukit Singa. Walaupun perjalanan ke sana memakan lebih kurang 40 hingga 60 minit, namun anda akan dapat menikmati pemandangan yang sangat indah setelah sampai di puncak bukit.
#5. Berkayak dan menaiki bot
Pulau Kapas merupakan tempat terbaik bagi anda yang gemarkan aktiviti berkayak.
Tunjukkan bakat berkayak anda di sini kerana ianya pasti menjadi sesuatu yang sangat mengujakan.
Selain itu, jangan melepaskan peluang untuk melihat tempat-tempat yang indah dan menarik dengan menaiki bot.
Sekian sahaja dari Team Deenamik. Semoga aktiviti di atas dapat menjadikan percutian anda ke Pulau Kapas sebagai suatu percutian yang tidak dapat dilupakan!
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.