Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun hari ini memberikan komen maklum balas tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein dengan mengatakan bahawa pihak polis mengalu-alukan pertolongan yang ‘ditawarkan’ oleh bekas menteri itu.
Menurut sumber dari MalaysiaKini, Tan Sri Fuzi Harun berkata bahawa pihak polis tidak akan menghalang usaha yang ingin dilakukan oleh Hishammuddin itu jika beliau benar-benar ingin menjejak di manakah kedudukan Jho Low yang masih lagi hilang disebabkan oleh skandal 1MDB.
Ketua Polis itu bagaimana pun tidak mahu memberi komen tentang apakah motif sebenar tawaran yang diberikan oleh Hisammuddin itu sama adanya bermotifkan persendirian atau pun sebaliknya.
“Saya tidak tahu, saya tidak boleh memberi komen mengenai motif Hishammuddin. Mungkin ini kerana beliau ada kontaks.
“Jika dia boleh membantu, kami mengalu-alukan tawaran itu,” katanya menerusi sebuah sidang akhbar.
Isnin lalu, Hishammuddin telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan hasratnya untuk membantu mencari Jho Low yang beliau pasti sedang berada di China buat masa sekarang. Hishammuddin turut berkata bahawa pertolongan untuk menjejak Jho Low ini bukanlah disebabakn oleh suruhan atau diminta oleh Putrajaya sebaliknya atas niat peribadinya.
“Jika kita nak kes ini tutup dan nama bersih semula, saya akan cari Jho Low, sampai ke lubang cacing saya akan cari,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen pada Selasa lalu.
Hishammuddin turut mengakui bahawa pencarian Jho Low ini bukanlah suatu perkara yang mudah tetapi beliau yakin dengan hubungan baik yang beliau ada bersama negara China akan membantu usahnya untuk menjejak Jho Low jika beliau benar-benar berada di China. Hisammuddin berkata bahawa Jho Low harus dibawa pulang dengan segera bagi mendapatkan jawapan sebenar darinya dan untuk membantu mendapatkan kebenaran itu tidak kisahlah sama ada pembangkang atau kerajaan.
“Diminta Putrajaya atau tidak rakyat Malaysia mahukan kebenaran. Untuk dapatkan kebenaran ini tidak kisah sama ada kita pembangkang atau kerajaan,” katanya.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri Pertahanan itu telah memberikan pelbagai reaksi dari pemimpin-pemimpin politik kerajaan mahupun pembangkang dengan ada yang mengatakan bahawa niat dan tawaran Hishammuddin itu bersifat peribadi kerana semua maklum mengetahui ramai pimpinan UMNO sedang berdepan dakwaan di mahkamah atas tuduhan rasuah dan penyelewengan.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin berasa pelik dengan tawaran tersebut dan berkata bahawa kerajaan tidak memerlukan bantuan dari Hishammuddin yang mempunyai hubungan baik bersama negara China sekali pun kerana kalau mahu digerakkan jentera keselamatan di China bagi membantu kes ini, sudah pasti Malaysia juga boleh hantar pasukan untuk menjejaki Jho Low yang mungkin berada di China itu.
Manakala pemimpin dari pembangkang iaitu Khairy Jamaluddin berkata bahawa tawaran yang ditawarkan oleh Hisahmmuddin itu menarik tetapi beliau menasihatkan supaya biarkan kerajaan sahaja yang menjejak Jho Low dan ianya tidak harus dilakukan dalam kapasiti peribadi.
Untuk tidak terlepas sebarang informasi-informasi menarik dari dalam dan luar negara, pastikan anda sentiasa layari Deenamik.com dan like FB Page Deenamik.