Tahukah anda, setiap orang rakyat Malaysia secara puratanya membazirkan sebanyak 1 kilogram makanan setiap hari? Bayangkan jumlah keseluruhan makanan yang terbazir itu sekiranya dikumpulkan! Sebab itulah perlunya satu akta khas untuk pembaziran ni.
Akta Pembaziran Makanan Akan Digubal
Terbaru, bagi menangani pembaziran makanan yang makin berleluasa di negara ini, kerajaan akan menggubal sebuah akta bagi mengatasi masalah ini.

Cadangan akta ini dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Akta yang dikenali sebagai Akta Pembaziran Makanan yang akan digubal dalam masa terdekat.
“Saya menganjurkan masyarakat supaya mengelakkan tabiat pembaziran makanan. Secara purata rakyat Malaysia membuang satu kilogram makanan setiap hari.
“Jangan membazir…Ini mesej hendak saya sampaikan (bahawa) kerajaan sedang mengkaji dengan teliti keperluan menggubal Akta Pembaziran Makanan daripada pelbagai sudut.
Menurut beliau lagi, kerajaan kini yakin bahawa jika pembaziran makanan dapat dikurangkan maka kos sara hidup rakyat juga dapat dikurangkan dan dioptimumkan hanya pada yang perlu sahaja.

Antara langkah lain yang bakal diperkenalkan bagi mengatasi masalah pembaziran makanan ini adalah dengan mengenakan denda kepada pelanggan yang melakukan pembaziran makanan di premis hotel dan juga di restoran.
Cadangan akta ini turut dikemukakan dan digesa oleh beberapa pihak lain seperti Menteri Perdagangan Hal Ehwal Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Peraturan Tentang Pembaziran Makanan Di Negara Luar
Bukan di Malaysia saja undang-undang berkenaan pembaziran makanan telah dikuat kuasa. Di negara luar seperti di Eropah, undang-undang ini dah lama dilaksanakan tetapi cara dan perlaksanaan yang berbeza.
Mari kita lihat negara-negara lain yang telah memperkenalkan undang-undang berkenaan pembaziran makanan:
#1. Perancis
Kerajaan Perancis bermula tahun 2012 telah menguatkuasakan undang-undang yang mewajibkan perniagaan untuk mengitar semula sisa makanan organik yang telah dihasilkan.

Pada tahun 2016, Perancis telah menguatkuasakan satu lagi undang-undang yang mellibatkan pengharaman pasar raya untuk membuang makanan dan bahan mentah yang tidak dijual.
#2. Itali
Berbanding Perancis yang lebih tegas, kerajaan Itali lebih menfokuskan kepada membantu perniagaan untuk mendermakan produk makanan yang masih belum melepasi tarikh luput kepada mana-mana yang memerlukan.
#3. Korea Selatan
Sebagai salah satu daripada negara yang paling banyak membazirkan makanan di Asia, Korea Selatan kini berbangga sebagai antara negara yang paling banyak mengurangkan jumlah pembaziran makanan.
Macam mana Daehanmingguk capai ke tahap tu?
Kerajaan Korea Selatan telah memperkenalkan polisi iaitu setiap isi rumah harus membayar kos bagi kitar semula sampah. Makin banyak sisa yang dihasilkan, maka makin tinggi kos yang harus dibayar.
Jika isi rumah berjaya mengurangkan jumlah sisa, maka jumlah yang harus mereka bayar juga akan menjadi sikit.
Apa kata anda mengenai akta yang akan digubal oleh kerajaan ini? Kongsikan pendapat anda bersama kami…